Ikram Junior – Menjadi Hero, menyelamatkan dunia

Alhamduillah, meskipun hari ini sudah masuk minggu yang ketiga selepas Projek Hijau Penanaman Pokok Ikram Junior Wilayah Persekutuan bersama keluarga, kenangan itu masih segar dalam ingatan. Syukur dipanjatkan  atas kesempatan bersama Ikram Junior untuk menelusuri hutan sejauh 2.5 km. Ternyata kanak-kanak yang berusia antara 9 – 12 tahun ini merupakan generasi yang luar biasa di mana tidak seharusnya kita memandang rendah pada kemampuan mereka.

Program ini dimulakan seawal jam 9 pagi . Pada asalnya sedikit kegusaran singgah sebentar  di dalam hati saat melihat langit bertukar mendung kelabu. Namun, berkat istighfar dan zikir yang ibu selalu ingatkan agar diamalkan, cuaca yang mendung perlahan-lahan bertukar cerah khususnya saat kami naik ke atas untuk aturcara utama kami iaitu tree-planting.

IMG_4592

Sesi fotografi sebelum memulakan perjalanan

Perjalanan kami meredah ladang hutan FRIM sejauh 2.5 km tidak semata berjalan, tetapi, renjer FRIM turut mengajak kami untuk berkenalan dengan flora fauna yang terdapat di sepanjang perjalanan kami.

Antaranya ialah semut. Antara fakta menarik yang kami peroleh ialah bagaimana mengenal semut yang friendly. Subhanallah, ternyata lautan ilmu Allah itu sangat luas dan banyak lagi yang perlu kami ketahui.

IMG_4653

Seterusnya kami dikenalkan dengan pokok kapur. Renjer meminta kami mengutip daunnya yang sangat unit dan cuba menghidu dengan meremukkan daun tersebut terlebih dahulu. Sebenarnya, daun pokok kapur inilah yang digunakan untuk membuat insect repellent yang kami pakai sebelum masuk ke hutan.

Kami juga turut berkenalan dengan pokok tarzan yang mana akarnya menyimpan air yang mungkin boleh dibuat sebagai penghilang dahaga jika tersesat di dalam hutan atau mungkin jika ada aktiviti perkhemahan yang penuh dengan adventure.

Salah satu ilmu baru yang turut kami peroleh berkenaan akar pokok yang menjulang ke langit ini ialah, cara untuk memotong akar untuk memperoleh air yang tersimpan di dalam akar ini. Selain itu, Encik Edi turut memberitahu kami cara mengenalpasti sama ada air yang berada di dalam akar itu beracun atau tidak.

Jika air yang keluar berada dalam keadaan melekit, maka air itu beracun, dan jika air yang keluar mengalir deras seperti air biasa maka Insha Allah dijamin selamat untuk diminum.

Encik Edi turut mengajak kami mendongak ke langit dan melihat sejenis pokok yang daunya memayungi seluruh hutan. Walaubagaimanapun, di sinilah terlihat kebesaran Allah, bagaiman setiap dedaunan itu tumbuh dengan jarak tertentu yang membolehkan cahaya matahari masih dapat dimanfaatkan kepada tumbuhan lain di dasar hutan.

IMG_4654

Perjalanan diteruskan lagi ke tapak penanaman pokok. Di sini kami diberikan taklimat berkenaan penanaman pokok oleh Encik Sadali. Encik Sadali juga turut mengingatkan kami bahawa pokok merupakan makhluk Amllah yang sangat bermanfaat pada orang lain. Dia bukan sahaja membekalkan kebaikan seperti buah-buahan untuk kita makan, batang untuk dimanfaatkan, oksigen, mengawal suhu bumi dan macam-macam lagi. Malah pokok jugalah yang mengambil keburukan yang kita sebarkan di atas muka bumi ini berupa carbon dioxide daripada sistem pernafasan kita, pembakaran secara terbuka, kenderaan dan lain-lain.

Subhanallah, betapa besarnya manfaat pokok kepada manusia. Tetapi sebaliknya bagaimana manusia mensyukuri nikmat ini dan menggunakan ia sebagai wasilah ubudiyyyah kepada yang Esa. Kerana itu jugalah kami Ikram Junior bersungguh-sungguh untuk mendidik anak-anak generasi masa kini agar belajar bersyukur dengan nikmat pemberian alam flora dan fauna dari Allah.

Alhamdulillah, hasil daripada program, kami menerima beberapa respon positif daripada anak-anak. Terdapat salah seorang peserta yang menyatakan betapa murninya niat dia bersama-sama program ini sehingga sanggup mengorbankan pemilihan futsal di sekolah. Peserta memperoleh manfaat yang sangat besar, kerana kebetulan dia juga diberi kerja kursus berkenaan cara memelihara da memulihara alam sekitar. Semoga sedikit usaha kami ini dapat mengangkat anak-anak seawal usia menjadi hero ummah yang bukan sahaja menjuarai isu-isu alam sekitar, malah pelbagai lagi isu pada masa akan datang.

IMG_4770

Satu group bersama suami dan my x-student from SRIAACS

Semoga Ikram Junior terus giat memberi manfaat dan menjadi generasi hebat!

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Ramadhan Pesta Ibadah, Syawal Perayaan Ibadah

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

 

masih terngiang pesan ustaz Shahrom dalam tazkirahnya semasa PERAWI yang lalu, ramadhan ini adalah salah satu nikmat. Jika kita bersyukur Allah akan tambahkan lagi kebaikan, tetapi jika kita kufur sesungguhnya Allah azab Allah amatlah pedih sebagaimana yang dirakamkan dalam ayat di atas.

Persoalannya, kita tergolong dalam kelompok yang mana. Apakah kita telah benar-benar memanifestasikan kesyukuran dengan menggunakan peluang ramadhan yang diberi dengan sebaik mungkin, atau kita menjadi dalam kalangan orang yang menyalahgunakan nikmat pemberian ini. Moga-moga kita terpilih menjadi dalam kalangan orang yang bersyukur.

Syawal tahun ini di Telok Datok kelihatam disambut dengan syahdunya suasana langit. Seolah merasa sedih dengan perginya Ramadhan. Bulan penuh barakah, bulan di mana beribu-ribu malaikat singgah menghiasi langit dan bumi.

Eidul Fitri Perayaan Ibadah

Alhamdulillah, gandingan mantap imam muda dan bilal Masjid As-Syarif tidak mengecewakan para jemaah yang hadir menunaikan solat sunat Eidul Fitri

Di atas mimbar, sang imam mengingatkan para jemaah bahawa hadirnya 1 Syawal adalah hari untuk kita bergembira, melaungkan takbir dengan suara yang nyaring serta menunaikan solat sunat Eidul Fitri.

Sang imam turut memetik sepotong hadith berkenaan amalan Rasulullah yang bangun di pagi raya dan keluar untuk menunaikan solat Eidil Fitri.

Eidil Fitri merupakan hadiah atas ketaatan yang telah kita pamerkan pada Allah sepanjang sebulan di bulan Ramadhan.

Maka, menjadi suatu perkara yang penting untuk kita menghargai hadiah ini dengan menghidupkan sebahagian sunah Rasulullah di hari raya seperti

1. Memakai pakaian yang indah

2. Mandi sunat hari raya

3. Menjamah sedikit makanan sebelum menunaikan solat sunat hari raya

4. Melalui jalan berbeza ketika pergi dan pulang dari masjid

5. Bermaaf-maafan

6.Menghulurkan juadah pada jiran tetangga

7. Memperbanyakkan takbir bermula apabila kelihatan anak bulan 1 Syawal sehinggalah sebelum menunaikan solat sunat hari Raya

Adapun semua ini adalah antara syiar-syiar agama Islam yang perlu sama-sama kita pamerkan sebagaimana yang telah Allah rakamkan dalam surah Al-Hajj ayat 32

Ucapan selamat hari Raya

Ucapan selamat hari raya yang diajar oleh Rasulullah adalah تقبل الله منا ومنكم  yang membawa maksud semoga Allah menerima amal kita semua dan amal kamu semua

Oleh kerana Aidil Fitri merupakan sebuah hadiah kepada umat Islam, menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk mensyukuri nikmat ini dengan menggunakan dan memanfaatkanya sebaik mungkin, bukan dengan mencemarinya atau menyalahgunakan hadiah pemberian ini dengan perbuat-perbuatan maksiat sepeti

  1. Pergaulan bebas
  2. Tidak menutup aurat
  3. Bersalaman sesama golongan bukan mahram
  4. Pembaziran yang melampau

Muhasabah Ramadhan kita

Meskipun Syawal dirai penuh kebahagian, janganlah kita meninggalkan amalan memuhasabah diri. Tanyalah kembali pada diri kita, apakah sempat untuk kita menemui Ramadhan yang akan datang? Apakah kesan yang telah kita peroleh daripada bulan Ramadhan yang lalu. Apakah kita akan terus rukuk dan sujud serta meneruskan ibadah sedekah sebagaimana yang telah kita hidupkan sepanjang bulan Ramadhan?

Tidak dilupakan juga, amalan ziarah yang kita hidupkan semasa bulan Syawal pula, semoga ia menjadi salah satu platform untuk kita saling meningkatkan kemesraan dan mengenepikan perbezaan kefahaman yang hanya membawa kepada perpecahan dan perselisihan.

Kembali memuhasabah Ramadhan, yang menjadi saksi kepada amalan sedekah serta mujahadah kita untuk mengurus perbelanjaan dengan baik saat membeli juadah berbuka mahupun bersahur. Adakah amalan tersebut telah Berjaya meningkatkan kualiti pengurusan ekonomi kita, atau sebaliknya?

 

Bagaimana pula dengan ibadah-ibadah lain seperti membaca Al-Qur’an yang telah kita pergiatkan sepanjang bulan Ramadhan? Berapa ramaikah antara kita yang telah berjaya menitiskan air mata lantaran implikasi tadabbur ayat-ayat Al-Qur’an lewat tilawah yang kita laksanakan?

Sebagai rumusan dari keseluruhan perkongsian di atas marilah kita bersama-sama

  1. Mengucapkan syukur dan yakin Allah telah menjadikan Ramadhan sebagai salah satu platform untuk kita meningkatkan iman dan taqwa
  2. Meraikan dan menyambut Aidil Fitri sesuai dengan sunnah amalan nabi dan salafussoleh
  3. Menjauhi perbuatan maksiat dan mungkar kerana dibimbangi akan menghapuskan pahala yang telah kita kumpulkan selama sebulan di bulan Ramadhan
  4. Meneruskan ibadah yang pernah kita laksanakan sepanjang di bulan Ramadhan
  5. Menyedari bahawa Islam bukan sahaja agama yang menekankan aspek solat dan puasa, tetapi Islam merupakan agama yang menyusun atur kehidupan manusia dalam segenap aspek merangkumi pemerintahan negara, ekonomi, social dan lain-lain

Semoga Allah menerima segala solat, puasa, qiam, tahajjud dan zikir-zikir yang telah kita persembahkan selama sebulan di bulan Ramadhan.

 

 

Posted in Uncategorized | Leave a comment

CATATAN PERAWI 2016 ( TAZKIRAH AKHIR RAMADHAN )

CATATAN PERHIMPUNAN RAMADHAN IKRAM WILAYAH PERSEKUTUAN ( PERAWI ) 2016

Alhamdulillah, pada 2 Julai yang lalu, Ikram Wilayah Persekutuan telah Berjaya menganjurkan program PERAWI buat kali yang kedua. Perhimpunan pada tahun ini tidak digabungkan bersama Ikram Negeri Selangor, kerana kami difahamkan bahawa Wilayah Pesekutuan merupakan antara negeri yang terkehadapan dalam wadah Hidayah Centre yang berperanan menyantuni golongan muallaf. Pada 25 Jun yang lalu, semasa diadakan Ijtimak Ramadhan Ikram Selangor, beberapa pimpinan Ikram Wilayah sibuk menganjurkan program Iftar bersama Muallaf, maka perhimpunan bagi ahli Ikram Wilayah ditangguhkan pada 2 Julai.

Meskipun tarikh yang dipilih barangkali kebanyakkan orang KL sudah pulang ke kampung, Alhamdulillah, masih ada lagi ahli yang berada di Kuala Lumpur bagi menyertai program ini. Program dimulakan dengan Tazkirah Akhir Ramadhan bersama Ustaz Shahrom, seterusnya perkongsian daripada Ustaz Adib berkenaan perkembangan Syria pada tahun ini, forum bersama 2 orang muallaf dan slot pengisian diakhiri dengan pengisian yang ringkas dan padat daripada Dr Harlina berkenaan isu ancaman pedofilia dan apa peranan kita.

TAZKIRAH AKHIR RAMADHAN : USTAZ SHAHROM

Ustaz Shahrom mengingatkan semua peseta PERAWI bahawa pada beberapa hari yang lalu, kita merupakan antara orang yang mengharapkan kehadiran Ramadhan. Dan Alhamdulillah, kelihatannya harapan kita diperkenankan oleh Allah. Maka menjadi satu kemestian untuk kita mengekspresikan kesyukuran atas perkenan Allah dengan memaksimamkan diri kita memperoleh manfaat dari bulan yang penuh barakah ini.

Ustaz Shahrom seterusnya mengajak para Jemaah untuk menelusuri sirah ibadah Puasa Rasulullah di mana , selalunya pada 20 hari terawal, Rasulullah selalu berpuasa di siang hari dan pada malamnya tidur, namun apabila sampai ke 10 hari terakhir, Rasulullah berpuasa di siang hari dan terus menggulung alas tidurnya untuk memaksimumkan ibadat pada hari-hari akhir Ramadhan.

Malah para sahabat juga akan terus beribadah terutama iktikaf di masjid sehinggalah selesai solat hari Raya barulah mereka akan pulang ke rumah. Alhamdulillah , meskipun marcapada ini kita maklum bahawa kita sedang menempuhi zaman fitnah yang penuh dengan pancaroba, namun kerja-kerja Islam turut serta dipergiatkan dari pelbagai institusi, sehingga kita dapat lihat fenomena iktikaf yang sedikit berbeza dari tahun-tahun sebelum ini.

Kebanyakan masjid sudah mula aktif dengan menyediakan program-program bagi memeriahkan malam-malam puasa. Tidak kurang juga Ustaz Shahrom turut berkongsi suasana di beberapa masjid yang didapati penuh dengan pasangan-pasangan pengantin baru yang melalukan pesta ibadah bersama, anak-anak muda seawal usia 13 tahun sudah mula memenuhi saf-saf hadapan untuk melaksanakan solat tarawikh bersama-sama, malah ada yang turut menghidupkan sunnah para sahabat dengan memilih untuk iktikaf sehinggalah hari Raya.

Namun, tidak dapat dinafikan, ada juga golongan yang ke masjid bukan untuk tujuan ibadah. Ada yang masih tidak menjaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan, malah lebih teruk dari itu, ada juga yang mengambil kesempatan ke masjid semasa para Jemaah sedang tidur, melakukan jenayahseperi mencuri. Semoga Allah mengampuni dosa mereka atas kelalalaian yang telah berlaku.

 

HARAPAN RAMADHAN

Ustaz Shahrom mengingatkan bahawa 2 benda utama yang kita harapkan dari Ramadhan adalah ganjaran pahala dan dijauhkan dari azab api neraka. Teringat pesan ayah yang diperoleh daripada seorang Imam Masjid. Manusia ini perlu banyak berdoa agar dijauhkan api neraka. Kerana kita tidak dapat membayangkan betapa dahsyatnya kepanasan api neraka yang siap membakar. Kadangkala, tengok kepulan asap pun kitah dah naik lemas, apatah lagi jika kita terus dibakar di dalamnya. Nauzubillah.

Terkesan dengan pesan ustaz, Ustaz kata Ramadhan yang bakal pergi meninggalkan memang akan terus meninggalkan kita. Dia tidak akan kembali. Bukanlah bermaksud kita akan mati pada Ramadhan akan datang. Tetapi setiap memori untuk setiap Ramadhan yang telah kita lalui tidak akan berulang lagi. Yang ada hanya Ramadhan yang baru. Dan pada ketika itu, kitalah yang akan menentukan apakah kita mahu episod Ramadhan seterusnya lebih baik atau sebaliknya.

Ternyata ianya benar, setakat ini Ramadhan yang paling mengesani adalah Ramadhan di Jordan pada tahun akhir ana belajar di sana. Memilih untuk tidak mengambil semester musim panas, memberikan ruang untuk ana memanfaatkan masa-masa Ramadhan dengan ibadah selain daripada turut berniaga untuk menambah pendapatan. Kebebasan masa yang ada membolehkan diri kita untuk mengikuti kelas-kelas taman syurga, beribadah dengan tenang dan merasai kelazatan iman. Namun, ia hanya tinggal memori. Sukar untuk memperoleh suasana itu lagi. Semoga Allah mengizinkan kita untuk memperoleh memori baru yang lebih baik dari itu.

Ramadhan bakal menjadi saksi ibadah kita sepanjang sebulan ini. Tanda Ibadah Ramadhan kita diterima Allah ialah apabila keluarnya Ramadhan kita menjadi seorang yang baru. Bukan baru disebabkan oleh badan kurus kerana Ramadhan atau perubahan-perubahan fizikal yang lain, tetapi baru dari sudut imannya, baru dari sudut akhlaknya. Menjadi seorang yang lebih baik dari sebelum ini.

Barangsiapa yang sama sahaja ketika sebelum Ramadhan, semasa Ramadhan dan selepasnya maka amatlah rugi bagi dirinya kerana terlepas dari segala kebaikan yang Allah limpahkan semasa Ramadhan ini. Hakikatnya ia merupakan suatu perkara yang membimbangkan, kerana golongan inilah yang akan terus cuai dan mengakibatkan berlakunya gejala-gejala seperti pornografi, mencuri, pedofilia dan lain-lain.

Menjadi suatu kemestian untuk kita mengingati bahawa Allah merupakan Tuhan pada setiap masa . Bukan bulan Ramadhan semata-mata. Maka janganlah kita hanya mengekspresikan ketaatan semasa bulan Ramadhan dan mencabutnya selepas selesai ibadah puasa. Jadilah hamba yang Rabbaniyyin, bukan Ramadhaniyyin yakni menjadi hamba kepada bulan Ramadhan. Ingatlah Allah berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 27 amalan yang diterima oleh Allah adalah amalan yang disertai dengan ketaqwaan.

 

Bulan Ramadhan merupakan pentas untuk kita memperoleh ketaqwaan, agar keluarnya kita dengan taqwa ini bisa mengizinkan segala amal kita diterima oleh Allah, melainkan jika melakukan ibadah sia-sia itu yang menjadi pilihan kita.

Ketahuilah bahawa para Ulama 6 bulan sebelum bulan Ramadhan lagi mereka sudah mempergiatkan doa agar disampaikan pada bulan Ramadhan. Manakala 6 bulan selepas Ramadhan mereka berdoa agar amalam mereka sepanjang bulan Ramadhan diterima oleh Allah.

 

ADAB-ADAB MENGAKHIRI RAMADHAN

Ustaz Shahrom meringkaskan tazkirahnya dengan berkongsi bagaimana cara untuk kita mengakhiri Ramadhan . Antaranya ialah :-

  • Meneruskan ibadah iktikaf
  • Menjaga kualiti solat
  • Berpuasa sunnah
  • Tidak menambah-nambahkan hari Raya yang selain daripada Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha
  • Tidak menjadikan bulan Syawal sebagai bulan untuk berhibur secara berlebihan
  • Tidak meninggalkan Qur’an
  • Tidak melupakan solat dhuha
  • Tidak melupakan solat tahajjud dan witir
  • Tidak meninggalkan sedekah

10 SUNNAH ADAB MENYAMBUT HARI RAYA

  • Banyakkan bertakbir dan bertalbiah
  • Mandi solat sunat hari raya
  • Memakai pakain yang baharu
  • Memakai wangi-wangian terutama lelaki
  • Sunat menjamah sedikit makanan sebelum menunaikan solat sunat hari raya
  • Pergi ke masjid beramai-ramai untuk menunaikan solat sunat hari raya dan mendengar khutbah untuk mendapat manfaat darinya
  • Menggunakan jalan yang berbeza semasa pergi dan pulang dari masjid agar dapat eratkan silaturrahim dengan para Jemaah dan bersedekah
  • Mengucapaka Taqaballahu minnna waminkum ( Semoga Allah menerima amalan kita dan amalan kamu ) atau ucapan Minal Eid Wal Faizin ( Dari kalangan orang yang kembali dan Berjaya )
  • Menunaikan solat sunat hari raya
  • Bersalaman dengan para Jemaah

Wallahua’lam .

Posted in Uncategorized | Leave a comment

” Ukhti, apa target Ramadhan enti tahun ini ? ”

Gulp. Kadangkala soalan-soalan seperti ini agak cepumas jugalah ya buat pendosa seperti diri ini.

 

Tetapi Alhamdulillah, di penghujung Syaa’ban yang pada mulanya, tercari-carilah juga himmah yang semakin memudar, terasa makin hampir dengan Ramadhan Allah hadirkan perasaan semangat yang membuak-buak dan Ilhamkan target yang perlu dicapai untuk diri ini.

Terima kasih kepada senior sekolah yang postkan cadangan target Ramadhan. Tulisan yang bersahaja tetapi mengesani diri ini.

Salah satu dari target yang dicadangkan adalah dengan menyenaraikan ibadah.

 

Rindu pada suasana Rumah Islam ( RI ) semasa di Jordan dahulu. Penghuninya yang masing-masing berlumba menjaga hubungan dengan Allah sangat banyak membantu kita untuk membekalkan diri dengan bekalan ibadah seperti ibadah berikut:-

 

1. Tahajud

2. Hajat

3. Taubat

4. Istikharah

5. Witir

6. Istighfar

7.Tilawah 2 Juz sehari

8. Hafazan 1/2 juz sehari ( Juz 1-8 dan Juz 26 – 30

9.Solat sunat Rawatib

10. Solat jemaah

11. Ma’thurat 2x

12. Solat tarawikh

dan lain-lain Ibadah.

 

Moga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk menjaga amalan-amalan fardhi seterusnya mengizinkan amalan fardhi ini menjadi bekalan dakwah untuk terjun pada masyarakat. Wallahua’lam.

 

 

 

 

 

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Malu si pohon semalu

Malu. Bukan bicara soal malu untuk terkehadapan menonjolkan kepimpinan. Tetapi hari ini sepertinya malu semakin menghilang dalam kalangan anak muda kita. Keberanian merupakan suatu yang terpuji. Tetapi keberanian yang bagaimana sebenarnya harus engkau pertahankan? Apakah silapnya pada ibu bapa yang lebih cenderung mengislamkan sebelum memanusiakan. Tudung yang kau sarungkan pada anakmu, apakah diiringi dengan nilai malu yang telah agama gariskan?

 

Engkau bertanya soal malu pada diri seorang anak lelaki? Adakah didikan yang sama perlu diterapkan seperti anak gadismu? Adapun yang terakam dalam Ali Imran, ibu Maryam menginginkan anak lelaki. Nazarnya suci. Sekiranya anak lelaki yang dilahirkan maka akan dia titipkan ke Masjidil Aqsa. Namun, Allah lebih mengetahui. Dan Maryam yang lahir merupakan seorang wanita . Sungguh lelaki dan wanita ternyata berbeza dalam aspek-aspek tertentu. Maka jika engkau mendidik anak gadismu menjadi persis pohon semalu, buat memagari diri dari melakukan sesuatu luar batasan nafsu, maka ajarilah pula anak lelakimu memartabatkan seorang wanita yang pemalu. Didiklah pula anak lelakimu memiliki hormat yang tinggi kepada wanita yang memagari diri dengan sifat malu. Binalah mereka menjadi lelaki-lelaki gagah yang siap melindungi wanita yang berdarah-darah mempertahankan maruah dengan rasa malu.

 

Mata melirik tajam ke luar jendela. Kita lihat di sana anak muda semakin berani. Namun berani yang bukan lagi terpuji malah kadangkala lebih pantas dikeji. Malu yang memagari diri runtuh menyembah bumi. Tidak segan silu memaparkan adegan-adegan bajet romantik antara gadis dan lelaki. Anak gadis yang tidak segan silu menyerahkan diri pada arjuna di hati. Kerana cinta, malu dipertaruhkan. Kerana cinta, pohon semalu tidak menjadi sesuatu yang menakjubkan. Mendalam. Dan hanya orang yang berakal mampu memikirkan.

 

Kaki sengaja melangkah di sebalik rumput-rumput hijau. Sesekali langkah dihayun perlahan ke arah kawasan yang sarat dengan pohon semalu. Pantas menguncup, saat langkah meredah. Maka seperti itulah harusnya malu menjadi hiasan buat tuannya. Reflect Respon. Respon yang pantas yang seharusnya ada khusunya bagi wanita dalam membuktikan bahawa malu merupakan perisai dari mengheret diri ke lembah dosa. Ia bisa dididik, seandainya engkau baru mengenal erti malu. Hanya sahaja ibubapa memainkan peranan yang penting untuk mengajarkan pada anak-anak aspek-aspek rahsia peribadi. Yang perlu jadi simpanan antara diri sendiri dengan Ar-Rahman.

 

Fikiran melayang. Terkenang surah An-Nur yang banyak membicarakan soal etika di dalam rumahtangga. Indah bukan Islam. Dari segenap aspek ada manual yang kebanyakan manusia terlupakan. Kalau Allah telah pun mengajar kita menjaga keaiban seperti menggariskan waktu-waktu tertentu yang tiada siapa dibenarkan memasuki kamar kita, maka mengapa hal-hal aib yang lain pula kita hebahkan?

 

Otak ligat berfikir. Makanya harus bermula dari mana? 4 Tahun barangkali usia yang sesuai. Didiklah anakmu mengenal malu. Ajarkan anakmu rahsia-rahsia peribadi yang harus dia tahu. Kenalkan anakmu adab-adab dari sekecil perkara seperti etika membuka baju.

 

Tangan memangku dagu. Melihat masihkah ada harapan pada anak bangsa kita. Kecanggihan teknologi menjadikan perkara ini semakin serius. Dan kita semakin bimbang. Mampukah malu mendapat tempat kembali dalam masyarakat? Di hujung bicara, sosok itu meyakinkan kita sungguh masih ada harapan. Hanya sahaja pelbagai pihak harus menggembeleng tenaga untuk menyelamatkan dunia.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Aku Rindu Memasak Panji

Kesilapan Daie di Jalan Dakwah

 

Engkau masih ingat, saatnya kita asyik bertukar tempat, mencari kawasan terbaik untuk kita membentuk sebuah halaqat?

 

Jordan, tidak sah kiranya jika seharian kita tidak berjumpa dengan pemuda mahupun belia dengan puntung rukuk di mulut dan sekotak di poket belakang seluar mereka, atau paling tidak sentiasa dalam genggaman erat. Dan akhirnya, Allah hadiahkan kita meja empat segi, dengan keriuhan kanak-kanak bermain dengan bebola berwarna-warni.

 

Namun, barangkali kerana ada barakah, majlis yang kita mulakan diiringi sunyinya sebentar tempat makan itu dengan keriuhan yang kita risaukan tadi. Dan kita mula bicara, tentang kesilapan Daie di Jalan Dakwah.

 

Buku tulisan Muhamad Abduh berwarna merah tua itu dibuka dan dibacakan oleh sang sahabat yang kini sudah berbadan dua. Awal-awal lagi Syeikh Muhammad Abduh telah mengingatkan kita yang mengaku sebagai seorang daie untuk berlapang dada untuk merungkai dan membongkar kesilapan-kesilapan yang kita lakukan saban hari tanpa kita sedar. Dan, untuk berhadapan dengan kesilapan, ada sesuatu yang perlu kita implimentasikan dalam diri, iaitu sebuah keberanian. Kata orang timur tengah, Syajaah. Bukan sahaja berani untuk berhadapan dengan kesilapan yang bakal diketahui, tetapi turut berani dengan sepenuh semangat untuk memperbetulkan langkah-langkah yang silap.

 

Adapun kesilapan yang pertama terletak pada salahnya niat. Contohnya, kita melakukan dakwah dengan niat mendapat tempat dalam masyarakat. Mungkin dulu aku masih boleh selamat dari kesilapan ini. Aku rasa, aku kalau boleh memang betul-betul ingin menjadi jundiy Al-Majhul. Tentera yang tidak diketahui. Kita terus bahagia dengan career sebagai seorang murabbi, mencetak kader dan akhirnya mereka dengan segala upaya mewarnai masyarakat. Dan aku tetap bahagia, meski identiti kekal tersembunyi.

 

Namun, bila pulang di tanah air, kadang-kadang kita menjadi sangat rakus mencari medium terbaik untuk meletakkan diri kita di tengah-tengah masyarakat. Bila tiada yang memanggil dan menyeru, kita gegabah jadi kaget. Apakah aku akan tergolong dalam kalangan orang yang tertapis? Namun, tidaklah menjadi satu kesalahan untuk kita terus berusaha mencari posisi di masyarakat, yang silap adalah pada niat. Maka selalulah memerhatikan hati, dan dalam setiap usaha diiringi dengan doa yang dipanjatkan pada Allah.

 

Berikut merupakan contoh-contoh niat yang salah :-

 

  1. Supaya orang bercakap banyak tentang dakwah yang dilakukan
  2. Apabila kita mula banyak mengadu pasal kerja-kerja kita
  3. Tidak gembira apabila dakwah itu berjaya di tangan orang lain
  4. Menginginkan pujian dan sambutan dari orang lain
  5. Mengharapkan manfaat atau habuan dari kerja dakwah
  6. Supaya dia tertonjol agar mendapat tempat dalam qiyadah
  7. Mula ujub dengan kemampuan diri

 

Aku masih ingat keadaan diri aku saat mendengarkan tentang ini dari bicara dia. Ternyata niat kita mungkin ada sahaja yang telah terpesongkan. Moga Allah mengampuni dosa-dosa kita yang sentiasa melakukan kesilapan di saat menapaki jalan dakwah ini. Yang paling penting, aku sangat berharap agar Allah menjaga aku dari permainan iblis, kerana mereka seringkali akan menakuktkan kita dengan kesilapan ini, dan akhirnya kita memilih jalan akhir untuk menghentikan langkah, dengan sangkaan akan minimalah khilaf pada niat.

 

Kesilapan kedua pula adalah saatnya hubungan kita dengan Allah semakin melemah, bilamana berpanjangannya sebuah ghaflah iaitu kelalaian. Ketahuilah, saban hari ada dua tarikan yang menarik kita, iaitu tarikan iman dan tarikan syaitan. Sesungguhnya, kesilapan ini adalah suatu kesilapan yang paling bahaya. Aku juga hampir-hampir tewas dalam mempertahankan mutabaah amal. Mujur ada ibu yang setiap hari pasti mengingatkan tentang bangun malam dan fadhilatnya. Betapa ibu benar-benar ikon yang seringkali menghidupkan madrasah malam, dengan qiamullail dan bacaan Qur’an yang akhirnya mengejutkan aku dari tidur yang lena di atas lambung.

 

Antara tanda-tanda kelalaian adalah

 

  1. Lalai menunaikan solat tepat pada waktunya
  2. berkurangnya hak terhadap Qur’an seperti tadabbur, tilawah apatah lagi dari sudut pelaksanaan
  3. banyak bersedih dan mudah gelisah
  4. hati terpecah-pecah pada hadaf yang sebenar
  5. warak yang berkurangan, serta ketakuktan pada azab Allah yang semakin sirna
  6. tidak memastikan kehalalan pada makanan dan minuman
  7. tidak thabat dan berterusan dalam jalan ketaan dan hidayah serta keperluan agama
  8. Melalaikan qiamullail sedangkan qiamullail adalah nyalaan agama

 

Manakala, kesilapan yang ketiga daie di atas jalan dakwah ini ialah, cacamarba. Saatnya dia tidak mampu menyusun waktu dan mencapai keseimbangan dalam semua perkara seperti

 

  1. Dakwah
  2. Syakhsiah
  3. Keluarga
  4. Masyarakat

 

Saatnya kita mula merengek melihat prestasi mutabaah amal kita, dan juga gagal melaksanakan masuliyyah serta merasa susah untuk menyeimbangkan segala perkara.

 

“ Syeikh Muhamad Abduh ada bagitahu tak macam mana nak selesaikan masalah ini? “

 

Seorang sahabat kami bertanya. Siapa yang tidak penasaran untuk mengetahui solusi setelah kaget melihat kesilapan-kesilapan yang menampar-nampar diri dan menyesakkan jiwa.

 

Kata Syeikh,

 

Kita perlu sedar bahawa ada orang yang akan mengutamakan dakwah dari keluarganya. Mengutamakan bukan bererti mengabaikan. Cuma, jangan sampai terasyik untuk mendakwahkan keluarga dan akhirnya kita memilih berdakwah di rumah sahaja. Apapun perlu berusaha untuk mencapai keseimbangan dalam semua perkara, selagi tidak mendatangkan bahaya pada mana-mana sudut atau aspek.

 

Ternyata, saat kita sedang survive mencari semula halaqat di celah-celah masyarakat, akhirnya, kitalah murabbi pada diri sendiri. Moga Allah kukuhkan langkah untuk tetap teguh bertahan.

 

#rindumemasaksyiar

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Mujahidahistiqamah

Bekali-kali cuba memasukkan ‘username’ yang tepat semasa cuba untuk log masuk wordpress. Namun keputusannya hampa. Hampir-hampir sahaja membuat keputusan untuk mewujudkan lamanweb atau blog yang baru. Akhirnya, untuk cubaan terakhir setelah mendapat emel daripada pihak wordpress aku menemukan username yang tepat dengan kata kunci yang akhirnya membuat aku sendiri tersedar dari sebuah lamunan yang tidak berapa nak panjang.

Mujahidahistiqamah. Istiqamah, nama pena yang telah lama aku gunakan di atas pentas wordpress dan bloger ini. Teringat suara sang murabbi saat aku mengadukan kes-kes kefuturan di atas jalan dakwah

‘ Ali kan istiqamah’

Dan kerana itu juga, saat aku kembali ke pentas penulisan ini, nama ini aku ingin pegang erat-erat, sebagai penguat untuk terus teguh berdiri dan mengorak langkah rijal-rijal yang benar di jalan Allah.

Istiqamah, itu kata kuncinya. Hampir genap seminggu sehari setelah berjaya meredah ribut salji di bumi barakah Jordan dengan lakaran memori indah yang masih terpateri bersama Muqarrabin dan adik kandung sendiri. Kelihatan dari jauh, anak-anak masih ada yang mujahadah untuk move on. Terkadang, tertanya di dalam hati, apakah cinta yang kita ukir benar-benar atas dasar menuju redha Illahi? Jika benar, ia tidak sepatutnya membunuh dan mematikan langkah, tetapi kita akan terus terbang kencang di persada dakwah. Perasaan berjasa membuatkan kita tetap istiqamah dan ingin melakukan yang terbaik. Namun, akhirnya, kita akan berbalik kepada hakikat bahawa kita insan biasa, yang lumrah akan terkesan dengan perpisahan. Moga Allah terus menguatkan cahaya mata di bumi Zaid bin Harithah menyebarkan aroma syahdinya di medan Muktah.

#moveonlillah

Mengenang memori selamat menaiki pesawat WY0812, jadual ODOJ ku pada hari itu adalah jatuh pada juz 15. Juz yang ada padanya surah Al-Kahfi, Surah yang keseluruhannya sarat dengan kisah-kisah. Kisah pemuda-pemuda yang beriman, kisah pemilik 2 kebun, kisah nabi Musa dan hamba Allah yang saleh, kisah Dzulkarnain, kisah nabi Adam dan syaitan dan kisah-kisah lain yang ternyata, saat membacanya di luar Tanah Sham, ia masih memberi kesan. Itulah mukjizat Qur’an yang mana di mana sahaja ia dibaca dan pada bila-bila masa ianya masih mampu memberikan sesuatu yang mengesani pada pembacanya, jika kita menggunakan kaedah interaksi dengan Qur’an yang baik.

Membicarakan tentang soal istiqamah, sukalah kiranya aku mengambil ibrah dari kisah pemuda-pemuda beriman dan kisah Nabi Musa bersama pembantunya untuk menuju ke tempat pertemuan dua laut.

Lihatlah bagaimana Allah membantu mereka yang ingin istiqamah mempertahankan aqidah dan mengharap agar disempurnakan petunjuk yang lurus dalam urusan mereka. Akhirnya Allah menidurkan mereka selama beberapa tahun. Malah bukan itu sahaja. Pelbagai bentuk perlindungan Allah kurniakan kepada mereka seperti yang tercatat dalam ayat 18 surah ini :

” Dan kamu mengira mereka itu bangun padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan melarikan [diri] dan tentulah [hati] kamu akan dipenuhi dengan ketakutan terhadap mereka.”

Tidak kurang juga paparan istiqamah dan keyakinan penuh serta semangat tidak berputus asa yang ditunjukkan nabi Musa dalam kisahnya ingin bertemu hamba Allah yang soleh di pertemuan dua laut.

” Dan [ingatlah] ketika Musa berkata kepada muridnya: [1] “Aku tidak akan berhenti [berjalan] sebelum sampai ke pertemuan dua buah lautan; atau aku akan berjalan sampai bertahun-tahun”. ( 18 :60)

Malah jika anda meneruskan pembacaan tentang kisah ini di dalam Surah Kahfi anda akan dapat melihat bagaimana bersabarnya nabi Musa terhadap kealpaan pembantunya, dan malah nabi Musa bersikap profesional serta sangat jelas dengan tujuan yang ingin dicapai. Saat mereka telahpun terlepas ke kawasan pertemuan dua laut yang dicari, nabi Musa dengan segera mengajak pembantunya untuk berpatah balik dengan segera menjejaki tempat itu kembali, tanpa membuang masa.

“Muridnya menjawab: “Tahukah kamu tatkala kita mencari tempat berlindung di batu tadi, maka sesungguhnya aku lupa [menceritakan tentang] ikan itu dan tidak adalah yang melupakan aku untuk menceritakannya kecuali syaitan dan ikan itu mengambil jalannya ke laut dengan cara yang aneh sekali.” (63) Musa berkata: “Itulah [tempat] yang kita cari”. Lalu keduanya kembali, mengikuti jejak mereka semula. “(18 : 64)

Untuk yang baru mengenali jalan ini, ketahuilah bahawa jalan ini ternyata amat panjang,susah dan lambat, namun akhirnya ganjarannya adalah dipan-dipan tempat kita bersandar menghilangkan penat lelah di syurga. Kepada yang sudah menapaki jalan ini, kokohkanlah langkahmu. Iringi istiqamah ini dengan harapan yang penuh percaya kepada Allah.

Manifestasikanlah istiqamah kita dengan

  1. Melaksanakan segala yang wajib dengan mengikut sunnah Rasulullah s.a.w
  2. Menambahkan ibadat yang sunat
  3. Menjauhi yang haram
  4. Melakukan tugas yang diamalkan dengan berterusan dan konsisten

[Himpunan Hadith Modal Insan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri]

Contohilah semut, ketika mengambil gula di dalam balang, meskipun kita cuba mengusirnya namun ia tidak lari sebelum mendapat gula tersebut. Dengan bersusah-payah akhirnya, dia berjaya membawa gula yang lebih besar daripada tubuhnya. Daripada kehidupan haiwan pun kita boleh mendapat ibrah.Semut yang tidak mempunyai akalpun boleh mencapai kejayaan, apatah lagi kita yang dikurniakan akal!

#istiqamahlillah

#katmalaysiabanyaksemutjadipastikanbalanggulatertuturapat

Posted in Uncategorized | 1 Comment