Ramadhan Pesta Ibadah, Syawal Perayaan Ibadah

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

 

masih terngiang pesan ustaz Shahrom dalam tazkirahnya semasa PERAWI yang lalu, ramadhan ini adalah salah satu nikmat. Jika kita bersyukur Allah akan tambahkan lagi kebaikan, tetapi jika kita kufur sesungguhnya Allah azab Allah amatlah pedih sebagaimana yang dirakamkan dalam ayat di atas.

Persoalannya, kita tergolong dalam kelompok yang mana. Apakah kita telah benar-benar memanifestasikan kesyukuran dengan menggunakan peluang ramadhan yang diberi dengan sebaik mungkin, atau kita menjadi dalam kalangan orang yang menyalahgunakan nikmat pemberian ini. Moga-moga kita terpilih menjadi dalam kalangan orang yang bersyukur.

Syawal tahun ini di Telok Datok kelihatam disambut dengan syahdunya suasana langit. Seolah merasa sedih dengan perginya Ramadhan. Bulan penuh barakah, bulan di mana beribu-ribu malaikat singgah menghiasi langit dan bumi.

Eidul Fitri Perayaan Ibadah

Alhamdulillah, gandingan mantap imam muda dan bilal Masjid As-Syarif tidak mengecewakan para jemaah yang hadir menunaikan solat sunat Eidul Fitri

Di atas mimbar, sang imam mengingatkan para jemaah bahawa hadirnya 1 Syawal adalah hari untuk kita bergembira, melaungkan takbir dengan suara yang nyaring serta menunaikan solat sunat Eidul Fitri.

Sang imam turut memetik sepotong hadith berkenaan amalan Rasulullah yang bangun di pagi raya dan keluar untuk menunaikan solat Eidil Fitri.

Eidil Fitri merupakan hadiah atas ketaatan yang telah kita pamerkan pada Allah sepanjang sebulan di bulan Ramadhan.

Maka, menjadi suatu perkara yang penting untuk kita menghargai hadiah ini dengan menghidupkan sebahagian sunah Rasulullah di hari raya seperti

1. Memakai pakaian yang indah

2. Mandi sunat hari raya

3. Menjamah sedikit makanan sebelum menunaikan solat sunat hari raya

4. Melalui jalan berbeza ketika pergi dan pulang dari masjid

5. Bermaaf-maafan

6.Menghulurkan juadah pada jiran tetangga

7. Memperbanyakkan takbir bermula apabila kelihatan anak bulan 1 Syawal sehinggalah sebelum menunaikan solat sunat hari Raya

Adapun semua ini adalah antara syiar-syiar agama Islam yang perlu sama-sama kita pamerkan sebagaimana yang telah Allah rakamkan dalam surah Al-Hajj ayat 32

Ucapan selamat hari Raya

Ucapan selamat hari raya yang diajar oleh Rasulullah adalah تقبل الله منا ومنكم  yang membawa maksud semoga Allah menerima amal kita semua dan amal kamu semua

Oleh kerana Aidil Fitri merupakan sebuah hadiah kepada umat Islam, menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk mensyukuri nikmat ini dengan menggunakan dan memanfaatkanya sebaik mungkin, bukan dengan mencemarinya atau menyalahgunakan hadiah pemberian ini dengan perbuat-perbuatan maksiat sepeti

  1. Pergaulan bebas
  2. Tidak menutup aurat
  3. Bersalaman sesama golongan bukan mahram
  4. Pembaziran yang melampau

Muhasabah Ramadhan kita

Meskipun Syawal dirai penuh kebahagian, janganlah kita meninggalkan amalan memuhasabah diri. Tanyalah kembali pada diri kita, apakah sempat untuk kita menemui Ramadhan yang akan datang? Apakah kesan yang telah kita peroleh daripada bulan Ramadhan yang lalu. Apakah kita akan terus rukuk dan sujud serta meneruskan ibadah sedekah sebagaimana yang telah kita hidupkan sepanjang bulan Ramadhan?

Tidak dilupakan juga, amalan ziarah yang kita hidupkan semasa bulan Syawal pula, semoga ia menjadi salah satu platform untuk kita saling meningkatkan kemesraan dan mengenepikan perbezaan kefahaman yang hanya membawa kepada perpecahan dan perselisihan.

Kembali memuhasabah Ramadhan, yang menjadi saksi kepada amalan sedekah serta mujahadah kita untuk mengurus perbelanjaan dengan baik saat membeli juadah berbuka mahupun bersahur. Adakah amalan tersebut telah Berjaya meningkatkan kualiti pengurusan ekonomi kita, atau sebaliknya?

 

Bagaimana pula dengan ibadah-ibadah lain seperti membaca Al-Qur’an yang telah kita pergiatkan sepanjang bulan Ramadhan? Berapa ramaikah antara kita yang telah berjaya menitiskan air mata lantaran implikasi tadabbur ayat-ayat Al-Qur’an lewat tilawah yang kita laksanakan?

Sebagai rumusan dari keseluruhan perkongsian di atas marilah kita bersama-sama

  1. Mengucapkan syukur dan yakin Allah telah menjadikan Ramadhan sebagai salah satu platform untuk kita meningkatkan iman dan taqwa
  2. Meraikan dan menyambut Aidil Fitri sesuai dengan sunnah amalan nabi dan salafussoleh
  3. Menjauhi perbuatan maksiat dan mungkar kerana dibimbangi akan menghapuskan pahala yang telah kita kumpulkan selama sebulan di bulan Ramadhan
  4. Meneruskan ibadah yang pernah kita laksanakan sepanjang di bulan Ramadhan
  5. Menyedari bahawa Islam bukan sahaja agama yang menekankan aspek solat dan puasa, tetapi Islam merupakan agama yang menyusun atur kehidupan manusia dalam segenap aspek merangkumi pemerintahan negara, ekonomi, social dan lain-lain

Semoga Allah menerima segala solat, puasa, qiam, tahajjud dan zikir-zikir yang telah kita persembahkan selama sebulan di bulan Ramadhan.

 

 

About mujahidahistiqamah

51:56 | 2:30
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a comment