Aku Rindu Memasak Panji

Kesilapan Daie di Jalan Dakwah

 

Engkau masih ingat, saatnya kita asyik bertukar tempat, mencari kawasan terbaik untuk kita membentuk sebuah halaqat?

 

Jordan, tidak sah kiranya jika seharian kita tidak berjumpa dengan pemuda mahupun belia dengan puntung rukuk di mulut dan sekotak di poket belakang seluar mereka, atau paling tidak sentiasa dalam genggaman erat. Dan akhirnya, Allah hadiahkan kita meja empat segi, dengan keriuhan kanak-kanak bermain dengan bebola berwarna-warni.

 

Namun, barangkali kerana ada barakah, majlis yang kita mulakan diiringi sunyinya sebentar tempat makan itu dengan keriuhan yang kita risaukan tadi. Dan kita mula bicara, tentang kesilapan Daie di Jalan Dakwah.

 

Buku tulisan Muhamad Abduh berwarna merah tua itu dibuka dan dibacakan oleh sang sahabat yang kini sudah berbadan dua. Awal-awal lagi Syeikh Muhammad Abduh telah mengingatkan kita yang mengaku sebagai seorang daie untuk berlapang dada untuk merungkai dan membongkar kesilapan-kesilapan yang kita lakukan saban hari tanpa kita sedar. Dan, untuk berhadapan dengan kesilapan, ada sesuatu yang perlu kita implimentasikan dalam diri, iaitu sebuah keberanian. Kata orang timur tengah, Syajaah. Bukan sahaja berani untuk berhadapan dengan kesilapan yang bakal diketahui, tetapi turut berani dengan sepenuh semangat untuk memperbetulkan langkah-langkah yang silap.

 

Adapun kesilapan yang pertama terletak pada salahnya niat. Contohnya, kita melakukan dakwah dengan niat mendapat tempat dalam masyarakat. Mungkin dulu aku masih boleh selamat dari kesilapan ini. Aku rasa, aku kalau boleh memang betul-betul ingin menjadi jundiy Al-Majhul. Tentera yang tidak diketahui. Kita terus bahagia dengan career sebagai seorang murabbi, mencetak kader dan akhirnya mereka dengan segala upaya mewarnai masyarakat. Dan aku tetap bahagia, meski identiti kekal tersembunyi.

 

Namun, bila pulang di tanah air, kadang-kadang kita menjadi sangat rakus mencari medium terbaik untuk meletakkan diri kita di tengah-tengah masyarakat. Bila tiada yang memanggil dan menyeru, kita gegabah jadi kaget. Apakah aku akan tergolong dalam kalangan orang yang tertapis? Namun, tidaklah menjadi satu kesalahan untuk kita terus berusaha mencari posisi di masyarakat, yang silap adalah pada niat. Maka selalulah memerhatikan hati, dan dalam setiap usaha diiringi dengan doa yang dipanjatkan pada Allah.

 

Berikut merupakan contoh-contoh niat yang salah :-

 

  1. Supaya orang bercakap banyak tentang dakwah yang dilakukan
  2. Apabila kita mula banyak mengadu pasal kerja-kerja kita
  3. Tidak gembira apabila dakwah itu berjaya di tangan orang lain
  4. Menginginkan pujian dan sambutan dari orang lain
  5. Mengharapkan manfaat atau habuan dari kerja dakwah
  6. Supaya dia tertonjol agar mendapat tempat dalam qiyadah
  7. Mula ujub dengan kemampuan diri

 

Aku masih ingat keadaan diri aku saat mendengarkan tentang ini dari bicara dia. Ternyata niat kita mungkin ada sahaja yang telah terpesongkan. Moga Allah mengampuni dosa-dosa kita yang sentiasa melakukan kesilapan di saat menapaki jalan dakwah ini. Yang paling penting, aku sangat berharap agar Allah menjaga aku dari permainan iblis, kerana mereka seringkali akan menakuktkan kita dengan kesilapan ini, dan akhirnya kita memilih jalan akhir untuk menghentikan langkah, dengan sangkaan akan minimalah khilaf pada niat.

 

Kesilapan kedua pula adalah saatnya hubungan kita dengan Allah semakin melemah, bilamana berpanjangannya sebuah ghaflah iaitu kelalaian. Ketahuilah, saban hari ada dua tarikan yang menarik kita, iaitu tarikan iman dan tarikan syaitan. Sesungguhnya, kesilapan ini adalah suatu kesilapan yang paling bahaya. Aku juga hampir-hampir tewas dalam mempertahankan mutabaah amal. Mujur ada ibu yang setiap hari pasti mengingatkan tentang bangun malam dan fadhilatnya. Betapa ibu benar-benar ikon yang seringkali menghidupkan madrasah malam, dengan qiamullail dan bacaan Qur’an yang akhirnya mengejutkan aku dari tidur yang lena di atas lambung.

 

Antara tanda-tanda kelalaian adalah

 

  1. Lalai menunaikan solat tepat pada waktunya
  2. berkurangnya hak terhadap Qur’an seperti tadabbur, tilawah apatah lagi dari sudut pelaksanaan
  3. banyak bersedih dan mudah gelisah
  4. hati terpecah-pecah pada hadaf yang sebenar
  5. warak yang berkurangan, serta ketakuktan pada azab Allah yang semakin sirna
  6. tidak memastikan kehalalan pada makanan dan minuman
  7. tidak thabat dan berterusan dalam jalan ketaan dan hidayah serta keperluan agama
  8. Melalaikan qiamullail sedangkan qiamullail adalah nyalaan agama

 

Manakala, kesilapan yang ketiga daie di atas jalan dakwah ini ialah, cacamarba. Saatnya dia tidak mampu menyusun waktu dan mencapai keseimbangan dalam semua perkara seperti

 

  1. Dakwah
  2. Syakhsiah
  3. Keluarga
  4. Masyarakat

 

Saatnya kita mula merengek melihat prestasi mutabaah amal kita, dan juga gagal melaksanakan masuliyyah serta merasa susah untuk menyeimbangkan segala perkara.

 

“ Syeikh Muhamad Abduh ada bagitahu tak macam mana nak selesaikan masalah ini? “

 

Seorang sahabat kami bertanya. Siapa yang tidak penasaran untuk mengetahui solusi setelah kaget melihat kesilapan-kesilapan yang menampar-nampar diri dan menyesakkan jiwa.

 

Kata Syeikh,

 

Kita perlu sedar bahawa ada orang yang akan mengutamakan dakwah dari keluarganya. Mengutamakan bukan bererti mengabaikan. Cuma, jangan sampai terasyik untuk mendakwahkan keluarga dan akhirnya kita memilih berdakwah di rumah sahaja. Apapun perlu berusaha untuk mencapai keseimbangan dalam semua perkara, selagi tidak mendatangkan bahaya pada mana-mana sudut atau aspek.

 

Ternyata, saat kita sedang survive mencari semula halaqat di celah-celah masyarakat, akhirnya, kitalah murabbi pada diri sendiri. Moga Allah kukuhkan langkah untuk tetap teguh bertahan.

 

#rindumemasaksyiar

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Mujahidahistiqamah

Bekali-kali cuba memasukkan ‘username’ yang tepat semasa cuba untuk log masuk wordpress. Namun keputusannya hampa. Hampir-hampir sahaja membuat keputusan untuk mewujudkan lamanweb atau blog yang baru. Akhirnya, untuk cubaan terakhir setelah mendapat emel daripada pihak wordpress aku menemukan username yang tepat dengan kata kunci yang akhirnya membuat aku sendiri tersedar dari sebuah lamunan yang tidak berapa nak panjang.

Mujahidahistiqamah. Istiqamah, nama pena yang telah lama aku gunakan di atas pentas wordpress dan bloger ini. Teringat suara sang murabbi saat aku mengadukan kes-kes kefuturan di atas jalan dakwah

‘ Ali kan istiqamah’

Dan kerana itu juga, saat aku kembali ke pentas penulisan ini, nama ini aku ingin pegang erat-erat, sebagai penguat untuk terus teguh berdiri dan mengorak langkah rijal-rijal yang benar di jalan Allah.

Istiqamah, itu kata kuncinya. Hampir genap seminggu sehari setelah berjaya meredah ribut salji di bumi barakah Jordan dengan lakaran memori indah yang masih terpateri bersama Muqarrabin dan adik kandung sendiri. Kelihatan dari jauh, anak-anak masih ada yang mujahadah untuk move on. Terkadang, tertanya di dalam hati, apakah cinta yang kita ukir benar-benar atas dasar menuju redha Illahi? Jika benar, ia tidak sepatutnya membunuh dan mematikan langkah, tetapi kita akan terus terbang kencang di persada dakwah. Perasaan berjasa membuatkan kita tetap istiqamah dan ingin melakukan yang terbaik. Namun, akhirnya, kita akan berbalik kepada hakikat bahawa kita insan biasa, yang lumrah akan terkesan dengan perpisahan. Moga Allah terus menguatkan cahaya mata di bumi Zaid bin Harithah menyebarkan aroma syahdinya di medan Muktah.

#moveonlillah

Mengenang memori selamat menaiki pesawat WY0812, jadual ODOJ ku pada hari itu adalah jatuh pada juz 15. Juz yang ada padanya surah Al-Kahfi, Surah yang keseluruhannya sarat dengan kisah-kisah. Kisah pemuda-pemuda yang beriman, kisah pemilik 2 kebun, kisah nabi Musa dan hamba Allah yang saleh, kisah Dzulkarnain, kisah nabi Adam dan syaitan dan kisah-kisah lain yang ternyata, saat membacanya di luar Tanah Sham, ia masih memberi kesan. Itulah mukjizat Qur’an yang mana di mana sahaja ia dibaca dan pada bila-bila masa ianya masih mampu memberikan sesuatu yang mengesani pada pembacanya, jika kita menggunakan kaedah interaksi dengan Qur’an yang baik.

Membicarakan tentang soal istiqamah, sukalah kiranya aku mengambil ibrah dari kisah pemuda-pemuda beriman dan kisah Nabi Musa bersama pembantunya untuk menuju ke tempat pertemuan dua laut.

Lihatlah bagaimana Allah membantu mereka yang ingin istiqamah mempertahankan aqidah dan mengharap agar disempurnakan petunjuk yang lurus dalam urusan mereka. Akhirnya Allah menidurkan mereka selama beberapa tahun. Malah bukan itu sahaja. Pelbagai bentuk perlindungan Allah kurniakan kepada mereka seperti yang tercatat dalam ayat 18 surah ini :

” Dan kamu mengira mereka itu bangun padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan melarikan [diri] dan tentulah [hati] kamu akan dipenuhi dengan ketakutan terhadap mereka.”

Tidak kurang juga paparan istiqamah dan keyakinan penuh serta semangat tidak berputus asa yang ditunjukkan nabi Musa dalam kisahnya ingin bertemu hamba Allah yang soleh di pertemuan dua laut.

” Dan [ingatlah] ketika Musa berkata kepada muridnya: [1] “Aku tidak akan berhenti [berjalan] sebelum sampai ke pertemuan dua buah lautan; atau aku akan berjalan sampai bertahun-tahun”. ( 18 :60)

Malah jika anda meneruskan pembacaan tentang kisah ini di dalam Surah Kahfi anda akan dapat melihat bagaimana bersabarnya nabi Musa terhadap kealpaan pembantunya, dan malah nabi Musa bersikap profesional serta sangat jelas dengan tujuan yang ingin dicapai. Saat mereka telahpun terlepas ke kawasan pertemuan dua laut yang dicari, nabi Musa dengan segera mengajak pembantunya untuk berpatah balik dengan segera menjejaki tempat itu kembali, tanpa membuang masa.

“Muridnya menjawab: “Tahukah kamu tatkala kita mencari tempat berlindung di batu tadi, maka sesungguhnya aku lupa [menceritakan tentang] ikan itu dan tidak adalah yang melupakan aku untuk menceritakannya kecuali syaitan dan ikan itu mengambil jalannya ke laut dengan cara yang aneh sekali.” (63) Musa berkata: “Itulah [tempat] yang kita cari”. Lalu keduanya kembali, mengikuti jejak mereka semula. “(18 : 64)

Untuk yang baru mengenali jalan ini, ketahuilah bahawa jalan ini ternyata amat panjang,susah dan lambat, namun akhirnya ganjarannya adalah dipan-dipan tempat kita bersandar menghilangkan penat lelah di syurga. Kepada yang sudah menapaki jalan ini, kokohkanlah langkahmu. Iringi istiqamah ini dengan harapan yang penuh percaya kepada Allah.

Manifestasikanlah istiqamah kita dengan

  1. Melaksanakan segala yang wajib dengan mengikut sunnah Rasulullah s.a.w
  2. Menambahkan ibadat yang sunat
  3. Menjauhi yang haram
  4. Melakukan tugas yang diamalkan dengan berterusan dan konsisten

[Himpunan Hadith Modal Insan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri]

Contohilah semut, ketika mengambil gula di dalam balang, meskipun kita cuba mengusirnya namun ia tidak lari sebelum mendapat gula tersebut. Dengan bersusah-payah akhirnya, dia berjaya membawa gula yang lebih besar daripada tubuhnya. Daripada kehidupan haiwan pun kita boleh mendapat ibrah.Semut yang tidak mempunyai akalpun boleh mencapai kejayaan, apatah lagi kita yang dikurniakan akal!

#istiqamahlillah

#katmalaysiabanyaksemutjadipastikanbalanggulatertuturapat

Posted in Uncategorized | 1 Comment

Kerana indahnya usrah, dalam hati pun ada salji

‘ Akak, nanti tempahkan mpv, kami nak naik Irbid hantar akak dari Irbid’

Begitulah janji kami pada pertemuan yang terakhir di Bumi Muktah. Kita merancang, Allah jua merancang. Awal permulaan minggu lagi  hati ini  telah disimbahi air keresahan, saat melihat perkembangan terkini keadaan cuaca Jordan yang dijangka akan mengalami ribut salji yang lebih dahsyat dari Taufan Huda tanggal 20 haribulan ini. Ya, tarikh aku akan kembali ke tanah air.

Janji yang kami pateri, terpaksa aku kembalikan pada perancangan Allah yang lebih baik.  Mafraq yang menanti kehadiran untuk pertemuan terakhir terpaksa aku kecewakan. Alhamdulillah sempat berjumpa mereka walaupun bukan semua. Malah, sebahagian dalam keadaan ada yang demam belum kebah. Meskipun sekejap cuma, dan pertemuan dalam keadaan masing-masing sibuk dengan urusan dakwah dan tarbiyah. Sedikit, dalam hati berbunga memekar wangi. Kerana dengan izin Allah, usaha kita mencari permata dakwah membuahkan hasil, saat mereka terus mengorak langkah ke hadapan.

Cerita semalam sebenarnya tidak akan mampu aku coretkan dalam ruangan yang cukup terhad.  Aku sebenarnya hampir pasrah, untuk memulakan perjalanan seawal jam 7 pagi, menghabiskan beberapa jam di Amman dan bertolak ke airport seawal jam 9 malam untuk bermalam di sana sehingga jam 5 petang . Dengan keadaan sedia maklum, hanya aku seorang yang menaiki penerbangan Oman Air dengan waktu berlepas paling lewat. Mustahil anak-anak usrah dan adik kandung sanggup meredah ribut salji dan rela untuk menemani sepertiga malam di sana.

Namun, siapa sangka, mereka menemani sejak dari awalnya. Bermula dari resahnya merancang perjalanan. Kisah-kisah menunggu terbitnya sinaran matahari untuk memulakan pengembaraan, bersyura beberapa kali sehingga aku membuat keputusan kepada mereka untuk membatalkan perjalanan ke lapangan terbang kerana dikhuatiri akan berhadapan dengan kemalangan, sedangkan mereka sudah siap berurusan dengan pihak pengangkutan. Jalan ke lapangan terbang juga sekejap dilaporkan tutup, sekejap dilaporkan buka. Ribut salji Jana di luar terus menggila.

Kerana pada syura ada keberkatan, dengan tekad yang kuat kami melangkah. Hampir-hampir di hujung talian mereka mengharap kereta Sonata Putih pak cik akan bisa mendaki bukit ke teratatak Isyrah untuk berjumpa mereka sekejap cuma. Sekurang-kurangnya aku dapat mendakap dan mengambil tasbih dari Haramain yang tertinggal. Dalam keadaan cuaca begini, belum tentu mereka mudah mendapatkan pengangkutan awam secara megejut. Lainlah aku yang memang akan ke sana dengan Sonata putih pak cik.

‘’Akak, kami dah nak gerak ni”

15 minit sebelum angka jam menunjukkan pukul 9 malam, mereka terlebih dahulu memulakan langkah ke sana. Di sebalik jendela empat segi, kelihatan ribut salji sudah berhenti. Aku dan teman seperjalanan dengan suaminya sebagai pemandu juga memulakan perjalanan kami beberapa minit selepas itu, meredah putihnya salju dan dinginnya suhu dengan meletakkan setinggi-tinggi tawakkal pada Illahi.

Teringat ziarah sejenak ke apartment Dr Fauziah,Timbalan Pengerusi Aqsa Syarif,  saat dia menceritakan pengalaman kerja sukarelawan ke Afghanistan. Dalam keadaan kereta yang usang, dan jalan yang gelap tanpa sinaran lampu menerangi, mereka meredah sebuah perjalanan yang mencabar. Dan waktu itulah, kita akan belajar untuk meletakkan pergantungan paling murni dan tinggi pada Illahi. Bukankah itu suatu keindahan yang mendekatkan?

Cuaca yang tidak menentu membuatka n panggilan masuk dan keluar agak sukar.

‘Ali, Farihah call tadi, mereka dah sampai’

Aisya Nadira menolehkan kepala dari kerusi hadapan kereta berbicara dengan aku.

‘Alhamdulillah, hanya Allah yang tahu betapa leganya bila mendapati anak-anak usrah dan adik kandung telah sampai terlebih dahulu ke lapangan terbang.’

Langkah dihayun kemas,  dan tangan memegang erat troli bermuatan sebuah beg kertas dan sebuah beg besar untuk pulang ke Malaysia. Kelihatan ramai yang berada di lapangan terbang. Masing-masing dengan jadual penerbangan yang berbeza. Di hujung sana, kelihatan anak-anak  dan adik sedia menanti dengan persalinan baju biru Kelab Ikram Jordan. Sekali lagi, hati dibalut terharu. Mengapa begini sekali mereka berkorban?

Maklum, masih ada kurang 20 jam kami akan bermalam di sini. Itu belum  lagi dapat menjangka perjalanan mereka untuk pulang ke Muktah pula. Namun, kelihatan masing-masing bersedia dan lapang dada menerima risiko.

Qiamullail, perjalanan mengagau mencari makan, hampir hilang idea bagaimana menghabiskan masa, cerita-cerita menikmati salji bersama, mujahadah untuk tidak makan megi dan sebagainya  akhirnya diakhiri dengan solat jemaah terakhir bersama mereka, dengan untaian doa yang aku sendiri terasa pilu saat itu. Moga doa rabithah akan terus mengikat kami, dan doa untuk dakwah terus menjadi hafalan kami.

Muqarrabin, golongan  yang ketiga tercatat dalam surah Al-Waqiah. Golongan yang didekatkan kepada Allah, terdiri dari orang terdahulu dan orang terkemudian. Dengan  janji mendapatkan dipan bertatahkan emas permata, buat dijadikan sandaran untuk saling berhadapan. Pasti terasa enak bagi mereka yang di dunia telah berpenat lelah meredah onak duri di atas jalan dakwah.

Tidak kurang janji-janji Allah untuk mengurniakan Muqarrabin dengan anak-anak muda yang tetap muda, gelas, cerek dan piala dengan air yang mengalir. Buah-buahan, daging burung yang dipilih, bidadari bermata indah, dengan kebebasan dari bicara yang tidak berfaedah. Subhanallah, kesulitan semalam membuat proses tadabbur menjadi sangat indah.

“ Jika dia ( orang yang mati ) itu termasuk yang didekatkan (kepada Allah), maka dia memperoleh ketenteraman, rezeki dan syurga yang penuh kenikmatan”

Al-Waqiah : 88-89

Moga kita benar-benar terpilih menjadi dalam kalangan orang yang didekatkan Allah.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Bintang-bintang berkerlipan dan sebuah peperiksaan

” Surah An-Najm,selalu sangat kita bagi pada anak usrah kita dalam peperiksaan”

 

Begitu tuturnya pagi itu  saat aku mengajak untuk mentadabburi ayat ini bersama. Barangkali cara kami bertilawah kali ini sedikit berbeza. Maklum bahawa di penghujung surah ini ada sujud sajadah, masing-masing mengambil posisi untuk membaca sendiri dan berinteraksi dengan surah yang ayat-ayatnya sedikit menggetarkan sehingga suatu masa dahulu pernah sahaja membuatkan musyrikin Makkah turut sujud menyembah bumi. Maka tercenganglah sahabat bagaimana bisa sampai begitu. 

Surah An-Najm, pasti membuatkan orang tertanya-tanya ada rahsia apa Allah sampai bersumpah dengan bintang. Kerana setiap sumpahan Allah kan pasti ada sebab agungnya tersendiri. Kerana bintang itulah makhluk paling berguna saat sang pengembara dalam kesesatan. Maka Allah datangkan dengan ayat seterusnya.

 

” Kawanmu tidak sesat dan tidak [pula] keliru”

 

Lantas selepas itu surah An-Najm meneruskan pengembaraan gilang-gemilang saatnya nabi menerima wahyu daripada Jibril. Sudah terlalu agung sumpah dengan bintang itu untuk membuktikan bahawa nabi Muhammad bukanlah seorang yang sesat. Namun mereka tetap mengagungkan 3 berhala yang kononnya isim muannaz bagi nama-nama Allah. Mereka menganggap 3 berhala Latt, Uzza dan Manah itu adalah anak perempuan Allah. Pelik bukan, bagaimana sebuah masyarakat yang membunuh anak perempuan hidup-hidup akhirnya menagungkan sesuatu yang dianggap anak perempuan Allah.

 

Barangkali aku bukanlah ahlinya untuk berbicara panjang lagi tentang sudut ilmiah yang terkandung dalam surah An-Najm ini. Tetapi ulasan Syed Qutb dalam tafsir Dzilalnya benar-benar membantu untuk kita berinteraksi dengan surah ini dengan interaksi yang indah dan menggugah jiwa.

 

” Dan milik Allahlah apa yang ada di langit dan dibumi . Dengan demikian. Dia akan memberi balasan  kepada orang-orang yang berbuat jahat sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan dan Dia akan memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik dengan pahala yang lebih baik (syurga). (Yaitu) untuk mereka yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji, kecuali kesalahan-kesalahan kecil. Sunnguh, Tuhanmu Maha Luas ampunan-Nya. Dia mengetahui tentang kamu sejak Dia mejadikan kamu dari tanah lalu ketika kamu masih janin dalam perut ibumu. Maka janganlah kamu menganggap dirimu suci. Dia mengetahui tentang orang yang bertaqwa”

 

An-Najm : 31-32

 

Barangkali pagi itu seolah-olah temanya taubat dan ampunan belaka. Sehinggakan kemana-mana kami bicarakan pasti menemukan tanda-tanda yang mengingatkan bahawa luasnya maghfirah Allah. Saat mengenali jalan dakwah ini, seolah ada satu sinaran cahaya, yang menuntun langkah ke jalan lebih lurus dan istiqamah. Barangkali masing-masing punya episod jahiliyyah yang berbeza, namun Al-Qur’an kembali menyucikan. Dari perbuatan dosa yang besar dan keji, kita belajar untuk meningkatkan keimanan dengan ketaatan, dan meninggalkan maksiat untuk mengelakkan iman itu merudum jatuh lagi dalam kegelapan. Namun, bimbang sahaja kalau ada antara kita merasa diri terlalu suci daripada orang lain. Sedang hakikatnya kita semua sama sahaja, diciptakan dari tanah. Dan Allah yang lebih tahu siapa sebenarnya yang lebih bertaqwa.

 

Musim peperiksaan sudah berlalu bagi pelajar Yarmouk, apatah lagi pelajar Jamiah Ali Al-Bayt. Tinggal menanti sahabat-sahabat dari Muktah dan Amman, yang masih lagi di sebalik timbunan kitab buat menghadapi peperiksaan yang baru sahaja bermula, saat cuti-cuti kami telah membuka tirainya. Bittaufiq wannajah sahabat!

Ketahuilah, dalam urusan dunia mahupun akhirat. Buatlah yang terbaik kerana kita adalah umat terbaik. Kau tahu apa Allah firmankan dalam surah Bintang ini 

 

” Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang diusahakannya, dan sesungguhnya usahanya itu kelak akan diperlihatkan kepadanya, kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna”

 

An-Najm : 39-41

 

Nanti jangan sampai kamu tertawa sebelum peperiksaan kerana banyak sangat bermain-main dan bersenda gurau dan akhirnya menangis melihat natijah yang tidak memberangsangkan. Cukuplah dengan segala kelalaian,kemalasan dan kelekaan kita. Kita bukan datang ke sini dengan sampan!

 

Namun, kerana agama kita bukan terbatas di dunia, janganlah engkau mengharap ayat itu tertumpu pada peperiksaan nihaie ini sahaja. Pandanglah ia jauh lebih luas daripada itu. Dalam tiap-tiap amal soleh, dalam tiap-tiap bekalan yang ingin kita bawa  pulang ke akhirat, berusahalah untuk melakukannya dengan penuh kesungguhan. Yang penting ikhlas dan redha. Harus itu menjadi obsesi dan harapan.

 

Salam imtihan untuk yang masih berjihad dengan mata pena

Salam memanfaatkan cuti dan bermusafir bagi mereka yang akan bercuti

Moga cuti dalam dakapan iman.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Ramadhan yang dirindui, Syawal yang dirai

PicsArt_1407158854359

Alhamdulillah, terlalu banyak kenikmatan yang Allah beri kepada kita sehingga membuatkan kita sekan-akan rasa malu untuk mengulangi maksiat dan rasa tertunduk dan mahu memperbanyakkan sujud syukur dan beramal sebagai manifestasi kesyukuran kita. Sebagaimana firman Allah kepada nabi Daud :

“Bekerjalah Hai keluarga Daud untuk bersyukur  kepada Allah” [Saba’ : 13]

Mohon maaf kepada pembaca lantaran penulisan di medium ini yang sudah lama terhenti lantaran ana sekarang lebih gemar membuat penulisan ringkas di instagram. Moga Allah redha dan membantu menajamkan lagi logam ini.

Ramadhan telah 8 hari meninggalkan kita. Apakah bekalan ketaqwaan yang kita petik di kebun ramadhan masih lagi segar atau sudah layu kerana dicemari bisikan syaitan yang telah mengumumkan perang semenjak mereka diusir keluar dari syurga gara-gara kesombongan untuk tunduk sujud pada nenek moyang kita Adam dan isterinya.

Ramadhan yang lalu terlalu indah untuk dikenang. Saatnya kita merasa riang dengan pesta ibadah. Pintu-pintu syurga dibukakan, dan pintu neraka ditutup. Ganjaran kebaikan dibentangkan dan syaitan terbelengu, petanda musuh kita tinggal hawa nafsu untuk dijinakkan. Tidak termasuk lagi keindahan tenggelam dengan bacaan imam dalam tarawikh yang panjang. Keindahan berbuka puasa dan bangun malam. Sungguh, pasti yang menghayati akan merindui.

Melangkahnya kita ke bulan Syawal diiringi dengan takbir sebagai simbolik kemenangan, petanda perjuangan masih lagi perlu diteruskan. Syawal ini, marilah sama-sama kita menghayati ayat-ayat dalam surah Al-A’raf pada 4 muka terawal.

” Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari surga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya. Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman. ”

[7:27]

Ingatlah bahawa dengan berakhirnya bulan mulia bulan Ramadhan, syaitan-syaitan yang terbelengu telah dilepaskan. Barangkali rencana mereka lebih hebat lagi daripada sebelum ini dalam mengumpulkan konco-konconya untuk dijemput memenuhi neraka jahannam bersama. Ketahuilah perjuangan ini terlalu sengit. Mereka menyerang bukan sahaja di hadapan kita, malah di belakang, dari atas dan dari bawah.

Iblis menjawab: “Karena Engkau telah menghukum saya tersesat, saya benar-benar akan [menghalang-halangi] mereka dari jalan Engkau yang lurus,  kemudian saya akan mendatangi mereka dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur [ta’at]

[7:16-17]

Maka syawal ini, berwaspadalah dengan tindak tanduk kita kerana barangkali itu semua adalah dari syaitan.Jangan sampai kita menyangka kita telah mendapat petunjuk, sedangkan hakikatnya kita tertipu dengan bisikan dan godaan mereka. Kenanglah ayat dalam surah yang sama Allah berfirman : –

“Sebahagian diberi-Nya petunjuk dan sebahagian lagi telah pasti kesesatan bagi mereka. Sesungguhnya mereka menjadikan syaitan-syaitan pelindung [mereka] selain Allah, dan mereka mengira bahwa mereka mendapat petunjuk.”

Ada sahabat yang pernah bertanya kepada ana, apakah yang perlu kita gembirakan dalam menyambut syawal. Kadang-kadang dia tidak faham mengapa perlu mengenakan pakaian baru. Ketahuilah bahawa bergembira di bulan Syawal dan mengenakan pakaian baru adalah salah satu sunnah yang diajarkan sendiri oleh Rasulullah. Jika kita menelusuri seerah Ghazwah Badr dalam kitab Rakheek Makhtum pasti kita akan dapat bersama memaknai erti takbir yang dilaungkan dan erti kegembiraan yang diraikan.

Sesungguhnya semasa Rasulullah bertanyakan kepada sahabat berkenaan hal ehwal Abu Jahal selepas perang Badar Abdullah Mas’ud mempersembahkan kepala Abu Jahal yang telah dipenggal lehernya saat nyawanya di hujung tanduk lantaran dibelasah teruk oleh Muaz dan Muawiz. Melihatkan musuh Allah telah dibunuh, Rasulullah lantas bersabda :

“Allah yang tidak ada tuhan selain Dia”

Baginda mengulang sebanyak 3 kali kemudian diiringi dengan bacaan

” Allah Maha Besar, Segala Puji bagi Allah yang telah membenarkan janji-Nya dan memenangkan hamba-Nya dan menghancurkan pihak-pihak musuh!”

Inilah bacaan dalam takbir yang kita laungkan semasa masuknya 1 Syawal. Dan sesungguhnya pada tahun yang sama di tahun Yaumul Furqan itulah Syeikh As-Sofi Ar-Rahman Al-Mubarak Furi ada merakamkan dalam kitab Rakheek Makhtumnya bahawa Syawal pertama yang mereka raikan pada tahun pensyariatan puasa dan zakat merupakan syawal terbaik lantaran kemenangan dalam Ghazwah Badar. Betapa bahagianya Eid pada tahun itu kerana Allah s.w.t telah memahkotakan umat Islam dengan mahkota pembukaan dan kebanggan dan pemandangan solat pada hari itu adalah pemandangan yang terbaik di mana pada hari itu mereka menunaikan solat selepas keluar daripada rumah-rumah mereka meninggikan suara mereka dengan takbir, tauhid dan tahmid dan hati mereka dibanjiri rasa meluap-luap hanya inginkan Allah, dan penuh rasa kelembutan mengharapkan rahmat Allah dan redha-Nya selepas mereka diutamakan untuk memperoleh nikmat dan disokong dengan kemenangan.

Begitu juga sunnah mengenakan pakaian terbaik ada dirakamkan dalam hadith Nabi yang berbunyi :

Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.

Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Barangkali hakikat tersirat di sebalik sunnah memakai pakain terbaik atau pakain baru ini signifikannya Rasulullah ingin memberi rasa kepada kita untuk menanggalkan pakaian jahiliyyah setelah melalui madrasah Ramadhan dan memakaikan diri kita dengan pakaian taqwa kerana itulah sebaik-baik pakaian sebagaimana yang Allah khabarkan dalam surah Al-A’raf ayat 26,

“Hai anak Adam [1] sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa [2] itulah yang paling baik.”

Pakailah pakaian apa sahaja yang terbaik asal jangan sampai tahap kita bertabarruj terutama bagi wanita. Moga-moga pemilihan pakaian adalah atas dasar taqwa. Bagi yang telah menjinakkan diri memakai tudung labuh semasa madrasah ramadhan moga Allah istiqamahkan kita semua. Semoga ketaqwaan yang kita peroleh melayakkan kita memperoleh syurga tempat yang meiliki teduhan dan mata air, tempat kita diseru makan dan minum dengan penuh keenakan serta pilihlah buah-buahan mengikut kesukaan kita.

Aidilfitri ini, pasti banyak kunjungan rumah terbuka yang kita peroleh terutama bagi bangsa Melayu. Tidak kurang juga ramai yang mendirikan baitul muslim di musim ini.Maka dalam aspek pemilihan makanan dan pengambillannya pun, jadikanlah bekalan taqwa pasca ramadhan sebagai neraca. Allah mengingatkan kita dalam surah yang sama pada ayat ke-31

“Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap [memasuki] masjid [1] makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan [2]. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”

Moga-moga Al-Qur’an terus subur di dalam hati kita setelah didampingi selama sebulan semasa Ramadhan yang lalu. Seterusnya menjadi acuan pembentukan diri kita sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini,

Taqabbalallahu minna wa minkum 🙂

Semoga Allah menerima amalan kita dan amalan kamu semua.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Menerima hakikat dalam perjalanan dakwah ini

Malam itu suasana bertukar menjadi hening.Ada takungan butir-butir jernih di tubir matanya.Tidak sangka,dakwah ini terlalu dinamik.Serasa baru semalam dia bersama kafilah tajmik melakukan proses merekrut adik-adik tahun satu untuk bersama-sama merasai nikmatnya tarbiyah ini.Tidak dapat dinafikan,dinamika adalah salah satu sifat dakwah ini,dan merupakan sahabat akrab dalam perjuangan.Tidak semua orang bisa menghadapi dinamiknya dakwah ini yang bergulir bersama pantasnya waktu yang berlalu.Dan malam itu,dengan linangan air mata,dia merefleksi dirinya,sudahkah aku tarbiyah?

 

‘Selama ini benarkah aku akhowat yang ditarbiyah?Jika benar,pasti aku dapat memenangi perjalanan dakwah yang penuh dinamika ini’

 

Dalam sekelip mata,penyusunan adik-adik bertukar keseluruhannya.Usaha dakwah fardhiyyahnya pada kali ini kurang memberangsangkan.Daripada 5 orang adik yang cuba diajak untuk ditarbiyah,hanya 2 orang sahaja yang setakat ini kelihatan berminat dengan tawaran ini.Itupun keadaan adik-adiknya masih tidak stabil.Komitmen yang tidak boleh dituntut lagi sedangkan fasa dakwah fardhiyyah sudah hampir setengah tahun.Lantas syura memutuskan untuk dia mencuba lagi dalam kafilah tajmik akan datang dan menyerahkan adik ‘df’nya kepada seseorang yang mempunyai daya tampung yang lebih tinggi dalam mengendalikan halaqah serta melakukan penggabungan bersama mad’u-mad’u yang lain untuk kemaslahatan dan kesejahteraan suasana usrah itu sendiri.Dengan berat hati,dia melepaskan mad’u-mad’u yang telah lama didakwahkannya.Sekilas terimbau jerit perih dia menziarahi mad’u itu seorang demi seorang.Sejenak terkenang wang-wang yang dikeluarkan dan masa yang dikorbankan demi untuk menarik hati manusia sekeliling bersama dengan jalan hidayah ini.

 

Dia tunduk,lantas seseorang menghampiri.

 

“Enti,enti sedih ke terpaksa lepaskan adik tu?”

 

Bahunya sedikit menghenjut.Hanya bahasa badan mampu menterjemahkan.Sekejap-sekejap tangannya menggosok mata yang merembeskan air mata tanpa hati.Tidak dia sangka,sesedih ini dia terpaksa menerima hakikat.

 

وَقَالَ إِنِّى ذَاهِبٌ إِلَىٰ رَبِّى سَيَہۡدِينِ (٩٩) رَبِّ هَبۡ لِى مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ (١٠٠) فَبَشَّرۡنَـٰهُ بِغُلَـٰمٍ حَلِيمٍ۬ (١٠١) فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعۡىَ قَالَ يَـٰبُنَىَّ إِنِّىٓ أَرَىٰ فِى ٱلۡمَنَامِ أَنِّىٓ أَذۡبَحُكَ فَٱنظُرۡ مَاذَا تَرَىٰ‌ۚ قَالَ يَـٰٓأَبَتِ ٱفۡعَلۡ مَا تُؤۡمَرُ‌ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ (١٠٢) فَلَمَّآ أَسۡلَمَا وَتَلَّهُ ۥ لِلۡجَبِينِ

 

Salimah mengambil langkah pantas menenangkan sahabatnya yang sedang cuba menerima kenyataan takdir dakwahnya kali ini.Surah As-Saffat menjadi pilihan.As-Saffat yang membawa erti barisan saff para malaikat yang siap siaga untuk melaksanakan tugas menjadi simbolik kepada sifat kepatuhan dan penyerahan diri secara total.Dan begitulah dalam surah ini turut merakamkan kisah-kisah penyerahan diri secara total meskipun tersering kita tidak dapat melihat hikmah di sebalik setiap aturan Allah.

 

Khalilullah Ibrahim a.s menjadi ikon dalam mempersembahkan sifat istislam meskipun tidak diketahui hikmah di sebalik setiap aturan Allah.Lihatlah kronologi yang Allah susunkan dalam hidup kekasih-Nya ini.Nabi Ibrahim semenjak dulu merupakan seorang nabi yang senantiasa mencari-cari siapakah tuhannya.Dilihat bintang,malap di kala siang,dilihat bulan sirna di kala pagi,dilihat matahari,terbenam di kala malam.Lantas baginda melepaskan diri secara total daripada kepercayaan kaumnya yang menyembah berhala untuk tunduk menyerah diri secara total kepada Allah s.w.t.

 

Kepercayaan,iktikad dan keyakinan yang dia miliki tidak dibiarkan hanya dimiliki oleh baginda sahaja.Malah baginda turut bertungkus-lumus berkongsi kefahaman dan membetulkan keadaan masyarakat waktu itu yang diperbodohkan oleh syaitan untuk menyembah sesuatu yang tidak minum,tidak makan apatah lagi ingin memberi makan dan minum kepada penyembahnya.Sehingga hasil dakwah baginda menerima penentangan yang menghantarkan baginda kepada kepada sebangunan api yang menyala-nyala.

 

Mereka berkata: “Dirikanlah suatu bangunan untuk [membakar] Ibrahim; lalu lemparkanlah dia ke dalam api yang menyala-nyala itu”. (37:97)

 

Namun,sesungguhnya kebenaran itu pasti tertegak.Allah lantas menghinakan mereka yang melakukan kezaliman kepada kekasih-Nya dan nabi Ibrahim terus diberikan kekuatan untuk melakukan dakwah.Dan saatnya dia berdoa kepada Allah agar dikurniakan seorang anak untuk meneruskan keberlangsungan dakwah ini.Dan Allah memakbulkan.Namun,kegembiraan itu tidak berpanjangan.Saatnya sebuah mimpi mengubah segalanya.

 

“Maka Kami beri dia kabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar [6]. (101) Maka tatkala anak itu sampai [pada umur sanggup] berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ia menjawab: “Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar”. (37:101-102)

 

Anak yang sabar itu diperintahkan Allah untuk disembelih.Jika mengikut logik akal,pastilah perintah ini sesuatu yang tidak mampu diterima akal.Namun lihatlah bagaimana Nabi Ismail yang ditarbiyah oleh Nabi Ibrahim meletakkan thiqah yang tinggi kepada Allah lantas mendorong nabi Ibrahim untuk memberikan penyerahan total atas perintah Allah meskipun tika itu hikmah perintah Allah masih tidak tersingkapkan.

 

Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis [nya], [nyatalah kesabaran keduanya]. (103) Dan Kami panggillah dia: “Hai Ibrahim, (104) sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu [1] , sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. (105) Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. (106)

 

Jelaslah,ia benar-benar suatu ujian yang nyata buat sang murabbi dan sang mutarabbi.Sebuah ujian untuk menguji tahap penyerahan total seorang hamba.Begitulah juga signifikannya kisah nabi ini dengan situasi dakwah dan tarbiyah kita di era ini.Setiap penyusunan yang berlaku dalam mengalokasikan kedudukan mad’u-mad’u kita adalah salah satu ujian untuk Allah menyaring keikhlasan kita dan sejauh mana kita benar-benar memaknai erti islam dalam diri kita.Bukankah kita beragama Islam?Agama yang membawa maksud berserah diri kepada Allah.Lantas bagaimana kita memanifestasikan definisi islam di dalam kehidupan kita.

 

“Zahra’,sudah-sudahlah tu.Insha Allah setiap kesabaran yang kita teguhkan,Allah akan balas sesuatu yang lebih baik.Bukankah selepas nabi Ibrahim melalui saringan ujian ini,Allah menganugerahkan seorang lagi anak kepada baginda.Nabi Ishak.Insha Allah,pasti akan ada episod baru untuk enti semasa tajmik akan datang.”

 

“Dan Kami beri dia kabar gembira dengan kelahiran Ishaq, seorang nabi yang termasuk orang-orang yang saleh”.(37:112)

 

Malam itu,Zahra cuba mengesat air mata yang masih terus mengalir, dalam dakapan hangat sahabat dalam kafilah dakwahnya.

314625_245222272188439_213668439_n

 

 

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Beriman dengan Qodo’ dan Qadar | Pemahaman serta permasalahan berkaitan dengannya

 

Bismillah,Alhamdulillah,diberikan kesempatan oleh Allah untuk menghadiri kuliah berjudul Iman terhadap Qodo’ dan Qodar bersama Dr Uqlah malam ini.Dr Uqlah,seorang doctor yang kali pertama ana mengenalinya adalah dalam kelas fiqh Mar3ah yang diadakan seminggu sekali di Bayt Redha.Mungkin kebanyakan pelajar Melayu khususnya pelajar Fiqh sudah lama mengenalinya,tetapi tidak bagi ana seorang pelajar jurusan Ekonomi dan Perbankan Islam.

Iman terhadap Qodo dan Qadar ada disebutkan di dalam hadith 2 dalam matan Arbaien susunan Imam Nawawi yang berbunyi

Daripada Saiyidina ‘Umar juga, r.a. beliau berkata:

Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya.  Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya. Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau. Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya.  Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman. Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk…..

 

walaubagaimanapun,kita dapati tidak ada ayat Al-Qur’an yang ketika menerangkan tentang aqidah rukun iman menyebutkan perkataan Qada dan Qadar bersama,perhatikan ayat di bawah,

” Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad s.a.w) dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.” (Surah An-Nisaa’: 136)[2]

 

Mengapa kita membuat kesimpulan seperti itu?Kerana,beriman kepada Allah dilakukan dengan mengimani setiap nama-nama Allah dan sifatnya.Dan beriman kepada Qodo’ dan Qadar adalah hasil daripada berimanan kepada 3 himpunan nama Allah iaitu

 

Pertama: Beriman dengan Qudrah Allah yang mutlak

Kedua : Beriman dengan ilmu/pengetahuan Allah yang mutlak

Ketiga : Beriman kepada kehendak Allah yang sempurna

 

Adapun suatu masa dahulu permasalah aqidah dalam kalangan islam tidak mempunyai sebarang masalah.Hinggalah tiba zaman Abbasiy dimana berlaku satu fitnah yang besar yang mengakibatkan muncul 2 golongan yang paling menonjol yang membicarakan tentang isu berkaitan dengan Qodo’ dan Qadar ini iaitu golongan Jabariyyah dan golongan Al-Qadariyyah.

Adapun golongan Jabariyyah berpendapat bahawa setiap tindak-tanduk manusia adalah atas kehendak Allah secara mutlak dan manusia melakukannya secara terpaksa.Berdasarkan dalil:-

 

Allah menciptakan segala sesuatu [Zumar : 62]

Adapun pihak Jabariyyah mentafsirkan bahawa segala sesuatu yang dimaksudkan di dalam ayat di atas merangkumi zat dan perbuatan

Yang dimaksudkan dengan zat adalah zahir kita.Anggota badan kita,bangsa kita,tinggi rendah gemuk kurus semua itu atas ketentuan dan kuasa Allah semata-mata tanpa manusia mampu memilihnya.Begitu juga dari sudut perbuatan,bagi mereka perbuatan semuanya adalah atas kehendak Allah.Yakni Allah yang membuatkan manusia untuk solat,Allah yang membuatkan manusia tak nak solat dan sebagainya.Tujuan mereka asalnya baik sahaja,yakni untuk mengagungkan dan menyucikan Allah,namun begitu pemikiran mereka kelihatan sedikit melampau.

Manakala beralih kepada golongan yang kedua,golongan Qadariyyah.Mereka mempunyai pendapat yang ternyata berbeza dengan golongan Jabariyyah.Mereka berpendapat bahawa manusia yang berkuasa atas segala sesuatu,sedangkan Allah langsung tidak mempunyai peranan ke atas itu.

Mereka berpendapat,kalaulah Allah yang mengawal dan menentukan zat dan perbuatan kita maka ianya tidak bertepatan dengan sifat  Allah yang Maha Adil.Hal ini demikian kerana,sebagai contoh Allah membuatkan kita ingin solat tanpa kita pinta,tetapi dalam masa yang sama Allah juga membuatkan kita tidak mahu solat tanpa kita mahu,dan di penghujungnya Allah juga yang akan menentukan ke mana pengakhiran kita,di syurga atau neraka.

Atau,barangkali pendapat Al-Qadariyyah boleh difahamkan melalui sebuah analogi mudah.Bayangkan seorang hamba dan seorang tuan.Tuan itu meminta hambanya mengambil segelas cawan.Secara logik akal,sekiranya hamba itu gagal melaksanakan tugas yang diberikan,sudah tentu dia akan dihukum.Tetapi memandangkan kuasa veto terletak pada tuannya,tuannya boleh menghukum hamba sama ada dia melakukan tugas atau tidak melakukan tugas.Err,tidak logik bukan atau dalam istilah yang lebih tepat,ini satu kezaliman.

Begitulah pendapat Al-Qadariyyah dalam menolak pendapat Al-Jabariyyah.Pada pendapat mereka,sekiranya benar segala sesuatu adalah di bawah kuasa Allah,maka zalimlah Allah dan ianya menafikan sifat Allah Al-‘Adil.

Lantas apakah aqidah ahlu sunnah waljamaah dalam hal ini?.Adapun ahlu sunnah waljamaah telah menghukumkan kedua-dua kelompok ini sebagai kufur di atas pemesongan aqidah mereka.Dalam isu berkenaan beriman dengan  Qada’ dan Qadar,ahli sunnah berpendapat bahawa:

Kita semua adalah ‘mukhayyar’ [bisa membuat pilihan]  tetapi di bawah ruang lingkup masyiah [kehendak Allah]’

Pada pendapat ahli sunnah waljamaah,ada beberapa perkara yang kita menjadi musayyar [tidak boleh membuat pilihan,terima dengan patuh],dan ada beberapa benda yang kita adalah mukhayyar.

Sebagai contoh hal kematian,hal hidup,tubuh badan kita dan bangsa kita,adakah kita mempunyai autoriti untuk menentukannya?Adakah kita mempunyai autoriti untuk memilih menjadi orang cina,atau orang Arab.Tidak bukan.Kita lahir-lahir secara semulajadi, telah ditentukan Allah untuk menjadi melayu,berkulit sawo matang,dengan ketinggian sederhana serta bertubuh kecil dan sebagainya.Dan sesungguhnya,ketahuilah,Allah sentiasa memberikan yang terbaik dalam aspek benda-benda yang kita tidak mampu membuat pilihan.

Cukuplah melihat wajah kita di dalam cermin.Setiap simetri muka kita,saiz mata kita,mulut kita telah Allah bentukkan dengan sempurna dan cantik.Seandainya autoriti aspek musayyar diberikan kepada kita,barangkali kita tidak mampu menentukan yang terbaik untuk muka kita bukan?Lihat sahaja contoh-contoh orang yang melakukan pembedahan plastik.Ingin hidung mancung,mata bulat,akhirnya gagal sama sekali menandingi kecantikan asli yang Allah ciptakan buat mereka.

Saat mendengarkan penerangan Dr Uqlah ini,hati ana ini sedikit terharu,kerana sesungguhnya Allah benar-benar Ar-Rahman dan Ar-Rahim.Dia menciptakan kita menjadi sebuah kaun yang terbaik,sebagaimana yang terakam dalam surah At-Tin

“sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya” [95:4]

Walaubagaimanapun harus diingat,tidaklah Allah menjadikan kita kaun yang terbaik melainkan pasti ada sesuatu tugasan yang Allah ingin taklifkan ke atas kita.Dan tidaklah Allah memberikan autoriti kepada kita untuk memilih melainkan pasti kita akan dihisab atau dihitung dengan setiap pilihan yang kita lakukan.Adapun bagi perkara-perkara yang memang ditetapkan oleh Allah,sesungguhnya Allah tidak akan mempersoalkannya di akhirat nanti.Mana mungkin Allah mempersoalkan mengapa kita lahir sebagai orang melayu,mengapa kita hidup dengan memilki hidung yang mancung,tidak logik bukan?

Hal ini membuktikan,Allah tidak melihat pada bentuk kita atau harta kita tetapi yang Allah pandang adalah pada hati kita dan amalan kita,sebagaimana yang termaktub dalam hadith ini,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ لا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ 

Daripada Abi Hurairah beliau berkata,Rasulullah s.a.w bersabda “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada bentuk kamu dan harta kamu tetapi Dia melihat kepada hati kamu dan amalan kamu.

Maka berbalik kepada perkara pokok,perkara-perkara musayyar adalah perkara yang Allah tetapkan dan Dia tidak akan persoalkan di akhirat kelak seperti ajal maut,dzat kita dan lain-lain,manakala perkara mukhayyar adalah perkara-perkara yang kita memiliki autoriti untuk menentukannya iaitu keimanan dan kepercayaan kita serta amalan dan keinginan kita.Sangat bertepatan bukan dengan hadith di atas.Maka dengan itu,setiap kepercayaan dan iktiqad kita dan amalan kita akan dipersoalkan dan dihisab di akhirat kerana Allah telah memberikan autoriti kepada kita untuk memilihnya sendiri.

Namun begitu,datang sedikit kekeliruan pada beberapa ayat Al-Qur’an yang berbunyi seperti ini

“Barangsiapa yang berbuat sesuai dengan hidayah [Allah], maka sesungguhnya dia berbuat itu untuk [keselamatan] dirinya sendiri; dan barangsiapa yang sesat maka sesungguhnya dia tersesat bagi [kerugian] dirinya sendiri “[17:15]

Kelihatan jelas bahawa hidayah itu adalah autoriti manusia,tetapi di dalam Al-Qur’an turut terdapat ayat seperti berikut:-

“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk” [28:56]

Sepertinya ayat di atas menerangkan bahawa hidaya itu adalah milik Allah secara mutlak,dan manusia tidak mampu untuk mengusahakannya.

Selain itu kekeliruan juga timbul pada ayat kedua terakhir dalam surah ke 81,surah  At-Takwir yang berbunyi seperti berikut:-

 

“ Al Qur’an itu tiada lain hanyalah peringatan bagi semesta alam,  [yaitu] bagi siapa di antara kamu yang mau menempuh jalan yang lurus. (28) Dan kamu tidak dapat menghendaki [menempuh jalan itu] kecuali apabila dikehendaki Allah, Tuhan semesta alam. “(29)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Al-Qur’an ini adalah peringatan untuk seluruh alam,maka kita mempunyai autoriti untuk memilih mengikut jalan Al-Qur’an atau jalan sebaliknya.Tetapi ayat terkahir pula mengatakan bahawa Allah yang akan menentukan siapa yang mendapat hidayah.

Kekeliruan juga boleh didapati dalam ayat-ayat berikut:-

“ …dan jika mereka memperoleh kebaikan [3], mereka mengatakan: “Ini adalah dari sisi Allah”, dan kalau mereka ditimpa sesuatu bencana mereka mengatakan: “Ini [datangnya] dari sisi kamu [Muhammad]”. Katakanlah: “Semuanya [datang] dari sisi Allah”.[6:78]

Ayat ini menunjukkan bahawa segala benda semuanya adalah di bawah autoriti Allah sama ada baik atau buruk.Namun begitu jika kita meneruskan pembacaan kepada ayat ke 79 dalam surah yang sama ayat tersebut mengatakan:-

“Apa saja ni’mat yang kamu peroleh adalah dari Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu, maka dari [kesalahan] dirimu sendiri.”

Kelihatan ayat ini mengatakan yang baik adalah atas kuasa Allah tetapi yang buruk kita mempunyai autoriti untuk melakukannya atau tidak.

 

Anda pasti sudah mula pening membacakan ini bukan?Maka,manakah yang benar sebenar-benarnya?

Sesungguhnya yang paling tepat di sisi Ahli Sunnah Waljamaah ialah manusia itu sifatnya mukhayyar [boleh memilih] tetapi di dalam ruang lingkup kehendak Allah.

Analoginya mudah.Bayangkan seorang penjaga penjara.Suatu hari dia memberikan kebebasan kepada tahanan penjara untuk keluar daripada penjara ke suatu tempat dalam suatu waktu yang ditentukan.Maka terpulanglah kepada tahanan itu,dia diberikan kebebasan tetapi masih dalam pantau penjaga penjara.Kalau dia patuh dengan kebebasan yang diberikan maka dia akan pulang ke penjara dalam keadaan selamat,tetapi sebaliknya jika dia mengkhianati kebebasan yang diberikan barangkali kehidupannya selepas itu lebih parah.Boleh jadi dia akan menjadi buruan dan hidupnya tidak akan pernah tenang.Mudah bukan memahami konsep ini?

Saat ana mendengarkan prinsip Ahli Sunnah Waljamaah,terlintas kasih-sayang Allah dan keintiman hubungannya dengan makhluknya yang bernama manusia.Dia mempunyai autoriti dalam masa yang sama kita juga mempunyai autoriti,hanya sahaja kita ingin menggunakan autoriti kita di bawah penguasaan Dia atau tidak.Mengapa kita perlu memandai-mandai menyalahgunakan autoriti kita,sedangkan Dia yang menciptakan kita.Pasti Dia lebih tau yang terbaik tentang kita bukan?

Ternyata pendapat ahlu sunnah waljamaah kelihatan pendapat yang sederhana.Tidak ada sebarang sifat melampau dalam membesarkan Allah dan tidak pula sebaliknya.Bukankah kita memang dijadikan sebagai umat pertengahan?

“Dan demikian [pula] Kami telah menjadikan kamu [umat Islam], umat yang adil dan pilihan [3] agar kamu menjadi saksi atas [perbuatan] manusia dan agar Rasul [Muhammad] menjadi saksi atas [perbuatan] kamu. Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu [sekarang] melainkan agar Kami mengetahui [supaya nyata] siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh [pemindahan kiblat] itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia “[2:143]

Betapa sayangnya Allah pada kita.Langit,bumi,lautan,gunung-ganang ternyata semuanya tidak diberikan autoriti untuk memilih.Tetapi tidak bagi manusia,Allah telah memberikan sebuah hak keistimewaan yang lebih baik daripada hak bumipuera semata-mata.Eh!Dengan nikmat akal yang Allah kurniakan istimewa buat kita,kita memilki kudrat untuk memilih Bukan sahaja itu,malah Allah turut mengurniakan nikmat  Rasul dan Kitab Al-Qur’an untuk memimpin kita memilih jalan hidup yang lurus.Namun perlu diingatkan,seringkali sebuah pilihan akan dipersoalkan yakni ada tanggungjawab yang mengiringi setiap pilihan yang kita buat.Ibaratnya jika kita memilih untuk menikah,maka pilihan itu diiringi dengan sebuah tanggungjawab,bagi orang yang faham.

Permasalahannya yang timbul sekitar beriman dengan Qada’ dan Qadar ini selalunya dikaitkan dengan hidayah.Seringkali kita melihat situasi seperti ini bukan?

A:Enti islam ke?

B:Yela.Takkan tak nampak aku solat?

A:Err,tapi kenapa enti tak pakai tudung

B:Dah Allah takdirkan hidayah tak sampai kat aku lagi,nak buat macam mana.Ko kan budak agama,macam lah tak pernah dengar dalil ni,

“Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya”

Maka pada masa ini jawablah dengan ilmu bahawa adapun hidayah itu terbahagi kepada dua.Hidayah Irsyadi dan  Hidayah Ikhtiari.Hidayah Irsyadi adalah  sejenis petunjuk yang diberi tanpa bersama-sama menempuhi jalan ke arah derstinasi yang dituju,sedang hidayah ijbari adalah hidayah yang mana kita akan dipimpin hingga sampai ke disetinasi.Analogi mudah untuk memahami konsep ini adalah,bayangkan seorang yang sesat yang bertanya kepada seseorang untuk sampai se suatu destinasi.Lantas orang yang ditanya memberikan arahan dan kemudian yang bertanya akan terus menempuhi jalan selepas mendapatkan arahan daripada yang ditanya.Barangkali dia masih akan sesat dengan 2 sebab.Pertama kerana dia gagal memahami arahan dengan baik,sedang kedua kerana dia tidak mempercayai orang yang ditanya.Adapun hidayah ijbari pula boleh dianalogikan seperti seseorang yang baru bertandang ke Masjid Nuh Quduh kemudian bertanya kepada ukhti di masjid itu

“Wein Hammam?” [di mana toilet?]

Lantas ukhti itu bukan sekadar  memberikan arahan tetapi terus memimpin yang bertanya sehinggalah dia sampai ke tandas di tingkat bawah.

Selain itu,persoalan juga timbul tentang isu perkara-perkara yang telah termaktub di sisi Allah.Pasti ramai pernah mendengar hadith yang berbunyi seperti ini,

Daripada Ibnu Mas’ud r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. meriwayatkan kepada kami dan ia adalah seorang yang benar serta dibenarkan, sabdanya: “Sesungguhnya seorang kamu dihimpunkan di dalam perut ibunya selama empat puluh hari dalam bentuk setitis air kemudian menjadi seketul darah selama itu kemudian sepotong daging selama itukemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh padanya dan diperintahkan dengan empat perkara iaitu ditulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan sama ada celaka atau bahagia ia.Demi Allah yang tiada tuhan selainnya, sesungguhnya seorang kamu benar-benar akan beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jarak antaranya dengan syurga hanyalah sehasta lalu ketentuan mendahuluinya maka dia beramal dengan amalan ahli neraka lalu ia memasukinya. Dan sesungguhnya seorang kamu benar-benar beramal dengan amalan ahli neraka sehingga jarak antaranya dengan neraka hanyalah sehasta lalu ketentuan mendahuluinya maka dia beramal dengan amalan ahli syurga lalu ia memasukinya.” (Bukhari dan Muslim).

Ramai orang yang kadangkala menyalahkan takdir dan mengatakan bahawa semua benda memang Allah dah tetapkan sebelum mereka lahir lagi.Saat belum pun lagi menjadi sebuah ciptaan yang dinamakan,apa yang mereka mampu buat dengan ketetapan Allah.

Ingatkanlah mereka,bahawa perkara termaktub juga terbahagi kepada dua.Iaitu kitabah Ikhbari dan Kitabah Ijbari.Ana rasa lebih mudah ana terus memberikan analogi untuk memahami konsep ini.

Di Yarmouk university,kami akan berhadapan dengan 3 kali peperiksaan.Imtihan awwal [peperiksaan pertama],imtihan thani [peperiksaan kedua] dan imtihan nihaie [peperiksaan ketiga].Para pensyarah akan mengumpulkan ketiga-tiga markah dari keseluruhan peperiksaan ditambah dengan markah penglibatan pelajar di dalam kelas kemudian di hujung tahun akan menghantarnya kepada pihak berwajib.Para pensyarah memiliki autoriti.Barangkali dia mempunyai hak untuk memberikan markah kepada anak muridnya tanpa sebarang peperiksaan sekalipun.Ayat kasarnya ,ikut suka dialah nak bagi 100 semua,atau nak gagalkan semua pelajar itu semua di bawah kuasa dia,kerana pihak berwajib hanya akan melihat laporan markah sahaja.Inilah yang dinamakan sebagai Kitabah Ijbari.Ketetapan yang tidak boleh kita ubah.Manakala Kitabah Ikhbari pula,adalah Kitabah yang dituliskan berdasarkan usaha dan kesungguhan kita.Sebagai contoh,rata-rata atau secara logiknya pensyarah pasti akan memberikan markah kepada pelajar berdasarkan apa yang di jawab di dalam peperiksaan.Jika jawabannya kebanyakannya betul,maka tinggilah markahnya.Begitulah sebaliknya.Maka,pelajarlah yang akan menentukan natijah pembelajaran mereka sama ada baik atau tidak.

Begitulah juga dalam kehidupan kita,kita tidak boleh menyalahkan bahawa Allah telah menetapkan kita sebagai ahli neraka atau menetapkan kita sebagai miskin dan sebagainya,sedangkan Allah menawarkan kita Kitabah Ikhbari.Yang mana ketetapan itu masih bisa diubah dengan usaha dan kesungguhan kita.Lihat betapa sayangnya Allah pada kita bukan?

Kadangkala,ada orang merasa Allah tidak adil.Ada orang dilahirkan cacat atau miskin.Tetapi ketahuilah,sesungguhnya Allah memberikan portion yang adil pada setiap makhluknya.Ada orang yang buta penglihatan tetapi tidak buta hati,ada orang yang miskin tetapi anak-anak dia semua berjaya dalam pendidikan.Seorang lebih ini,seorang lebih yang itu.Perhatikanlah dalam-dalam, nesaya anda akan menemukan keadilan Allah.

Dalam dakwah dan tarbiyah juga tidak terlepas daripada konsep ini.Kadang-kadang satu masa kita akan mempersoalkan,mengapa bukan kita yang diposisikan di bahagian pimpinan,mengapa bukan kita yang dijemput menjadi ahli syura atau ke sesuatu wasilah-wasilah tarbiyah tertentu.Ketahuilah bahawa sesungguhnya,Allah sangat mengenali kita.Kadang-kadang Allah sengaja membiarkan seorang hambanya kekal miskin,kerana Dia tahu,seandainya hambanya ini kaya pasti dia akan kufur dan begitulah sebaliknya.Maka bersyukurlah dengan setiap Qada’ dan Qadar Allah terhadap hidup kita.Nescaya dengan adanya redha anda akan tersenyum setiap hari atau barangkali sentiasa menangisi rahmat Allah yang tidak berbelah bagi.Wallahua’lam

Grab the Hidayah!Join usrah,towards ustaziyatul alam.

 

 

 

 

Posted in Uncategorized | Leave a comment